PETALING JAYA: Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Zonis tidak akan mempertahankan pingat emas acara ujian masa 1 kilometer (km) di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024, New Delhi esok selepas diarah untuk menarik diri.
Fadhil terpaksa berbuat demikian kerana dijangkiti virus sehingga menjejaskan kesihatannya.
Pelumba berusia 26 tahun itu mengumumkan penarikan dirinya di laman media sosialnya hari ini, yang turut menyaksikan dia terlepas untuk bersaing dalam acara keirin sebentar tadi.
Ini juga bermakna Fadhil akan terlepas peluang berentap dengan wakil tuan rumah, Ronaldo Laitonjam dan David Beckham Elkathcoongo.
Ronaldo, pelumba meningkat naik India merupakan pencabar kepada Fadhil sebelum akur meraih pingat perak bagi acara ujian masa 1km pada edisi lalu.
“Dengan hati yang amat berat saya ingin berkongsikan perkhabaran yang kurang baik. Selepas mendapat nasihat dengan jurulatih dan pasukan perubatan, keputusan telah pun dibuat bahawa saya tidak akan menyertai acara keirin dan ujian masa 1km.
“Saya telah jatuh sakit kerana jangkitan virus yang menyebabkan saya tidak dapat bertanding.
“Saya benar-benar rasa kecewa kerana tidak dapat mempertahankan gelaran juara ujian masa 1km. Saya akan kembali dengan lebih kuat dan memenangi semula pada tahun hadapan. Saya memohon maaf kerana tidak dapat menghabiskan perlumbaan. Keutamaan saya kini adalah untuk proses pemulihan,” jelas Fadhil.
Fadhil mencipta sensasi tahun lalu selepas menamatkan kemarau 12 tahun negara meraih pingat emas acara ujian masa 1km ketika ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai.
Sungguhpun begitu, kempen Malaysia di New Delhi tampak positif dengan mengumpul satu pingat emas, dua pingat perak dan tiga pingat gangsa biarpun tanpa kehadiran sandaran utama, Datuk Azizulhasni Awang yang masih dalam proses pemulihan.










