KUALA LUMPUR: Selepas tidak tersenarai dalam pasukan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC 2024), beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun perlu mengutamakan misi merebut tempat skuad Piala Thomas 2024, April Depan.
Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berkata, pasangan nombor 18 dunia itu mampu diturunkan sebagai beregu kedua dalam kejohanan berkenaan jika beraksi cemerlang dalam siri Jelajah Eropah yang akan bermula Mac ini.
Katanya, Wei Chong-Kai Wun terlepas untuk beraksi di BATC susulan menampilkan aksi hambar pada tiga kejohanan pada awal tahun ini.
“Latihan mereka semakin hari semakin baik. Saya harap mereka dapat mengawal tekanan semasa di gelanggang. Mereka perlu buktikan yang mereka mampu bersaing di Thomas kerana kami perlu pasangan kedua terkuat.
“Selepas berbincang bersama mereka, saya nampak mereka faham (Wei Chong-Kai Wun) dan perlu keluar daripada prestasi kurang memuaskan baru-baru ini,” katanya.
Wei Chong-Kai Wun bakal membuka kempen Terbuka Perancis 2024 menentang gandingan daripada Kanada, Kelvin Lee-Ty Alexander Lindemann manakala pasangan dari Jepun Akira Koga-Taichi Sato menjadi lawannya pada All England, Mac depan.
Pasangan nombor lima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal dipertaruhkan sebagai beregu utama manakala Wei Chong-Kai Wun menghadapi cabaran getir untuk merebut slot bersama gandingan profesional Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dalam saingan Piala Thomas 2024. – UTUSAN











