JERANTUT: Kira-kira 1,000 pemilik kenderaan dan pengusaha bot penambang Taman Negara dan penduduk terjejas berikutan kehabisan bekalan minyak petrol RON 95 sejak 20 Februari lalu di Kuala Tahan, di sini.
Ia berikutan ramai pelancong luar dan pelawat domestik berkunjung ke pusat peranginan hutan tropika Taman Negara melibatkan perkhidmatan kira-kira 300 buah bot penambang di Sungai Tembeling dan Sungai Tahan, termasuk kawasan Ulu Tembeling serta kenderaan persiaran dan milik penduduk di situ.
Penduduk serta pengusaha berkenaan terpaksa keluar mendapatkan bekalan RON95 di stesen minyak Felda berdekatan sejauh kira-kira 20 kilometer dari Kuala Tahan manakala Jerantut Feri jaraknya hampir 60 kilometer.
Situasi itu menyebabkan berlakunya kelewatan perkhidmatan bot penambang sehingga pelancong terpaksa menunggu antara dua hingga tiga jam untuk ke semua destinasi di Taman Negara sehingga menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pengunjung yang bercuti di situ.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengusaha kedai minyak berlesen Kampung Padang, Mohd. Azhar Mohd. Arif, 60, berkata, dia cuma menerima bekalan petrol RON95 sebanyak 14,000 liter sebulan daripada pembekal.
“Sehingga 20 Februari lalu, kedai saya sudah kehabisan bekalan petrol menyebabkan kira-kira 200 pelanggan yang terdiri daripada pengusaha bot penambang dan penduduk tempatan mengeluh kerana terpaksa keluar mendapatkan minyak di stesen yang jauh.
“Sepatutnya, pihak berkuasa berkenaan meluluskan kepada dua pengusaha kedai minyak untuk jualan di sini sebanyak 50,000 liter sebulan memandangkan keperluan serta permintaan yang tinggi berikutan ramai pelancong ke Taman Negara yang menggunakan perkhidmatan bot penambang termasuk kenderaan penduduk tempatan,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, penduduk Kuala Tahan, Zamri Mat Ami, 57, berkata, sekiranya tiada bekalan RON95 dalam tempoh minggu ini tentu menjejaskan sektor pelancongan di taman peranginan tersebut kerana memberi kesukaran terhadap pengusaha bot penambang mengendalikan pengangkutan membawa pelancong.
“Setiap hari lebih 200 buah bot penambang mengendalikan perkhidmatan memunggah pelawat ke beberapa destinasi di Taman Negara dan Ulu Tembeling melibatkan antara 800 hingga 1,000 pengunjung, malah semakin bertambah dalam tempoh musim cuti sekolah,” katanya.
Katanya, penduduk juga terkesan akibat ketiadaan bekalan petrol untuk ke bandar Jerantut mencari barang keperluan harian termasuk membawa hasil kampung ke tempat pemasaran. – UTUSAN










