Tze Yong jalani pembedahan, tarik diri sertai dua kejohanan

Tze Yong jalani pembedahan, tarik diri sertai dua kejohanan

NG TZE YONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain badminton perseorangan negara, Ng Tze Yong akan menjalani pembedahan kecil bagi merawat kecederaan belakang yang dialaminya dan menarik diri daripada menyertai Terbuka Perancis serta All England, Mac ini.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky menerusi kenyataan media yang dikeluarkan berkata, di atas nasihat pasukan perubatan, pemain yang menghuni ranking ke-15 dunia itu telah bersetuju untuk meletakkan keutamaan kepada proses pemulihan kecederaan yang dialaminya itu.

“Tze Yong akan menjalani pembedahan belakang, minggu depan dan pembedahan kecil itu bakal menyaksikan Tze Yong tidak dapat bermain selama dua hingga ke enam minggu.

” Keutamaan BAM adalah kepada pemain. Fokus kami ialah untuk merawat kecederaan dan proses pemulihan Tze Yong,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, sebaik Tze Yong pulih, barulah BAM akan memikirkan pula mengenai tindakan selanjutnya.

” Buat masa sekarang, kami mahu dia fokus kepada rawatan dan pemulihan kecederaannya,” tegas Rexy.

Sekiranya proses pemulihan berjalan lancar, Tze Yong dijangka kembali beraksi pada Sepanyol Masters di Madrid, penghujung Mac dan Kejohanan Asia di NingBo, China pertengahan April depan.

Tze Yong disahkan ditimpa kecederaan otot belakang sewaktu beraksi dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia, awal bulan lalu dan masalah tersebut dikhabarkan semakin serius sewaktu dia menyertai skuad kebangsaan pada Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) di Setia Alam, minggu lepas.

Begitupun, anak kelahiran Johor itu hanya bermain dalam satu perlawanan ketika Malaysia membenam Brunei 5-0 dalam aksi peringkat kumpulan.

Kecederaan yang melanda pemain kelahiran Johor itu sedikit sebanyak menjejaskan peluangnya untuk mengejar slot ke Sukan Olimpik yang meletakkan kelompok 16 terbaik sebagai syarat dengan tarikh akhir kelayakan ialah pada penghujung April. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×