Telur ayam dari zaman Rom ditemukan di Aylesbury

Telur ayam dari zaman Rom ditemukan di Aylesbury

TELUR AYAM yang jarang ditemukan itu dianggarkan berusia sekitar 1,700 tahun. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU kajian baharu mendedahkan sebutir telur ayam dipercayai berasal dari zaman Rom masih dalam keadaan sempurna dengan mengandungi cecair di dalamnya.

Telur ayam berbintik hitam itu dilaporkan masih mempunyai putih dan kuning telur yang bergabung membentuk cecair.

Lapor Daily Mail, artifak jarang ditemukan itu dianggarkan berusia sekitar 1,700 tahun, ditemukan di Berryfields, utara-barat Aylesbury di Buckinghamshire.

Telur ayam berukuran kira-kira 4 sentimeter (sm) lebar dijumpai di dalam lubang berisi air, yang dianggap membantu pengawetan telur.

Ahli arkeologi dari DGB Conservation, Dana Goodburn-Brown melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pada telur tersebut.

Hasil imbasan mengesahkan telur itu masih dipenuhi cecair dan gelembung udara.

Imbasan tersebut dilakukan beberapa bulan lalu untuk menjelaskan bagaimana telur ayam itu boleh diawetkan dengan baik.

“Kami mula-mula mengesan gelembung udara di dalamnya dan memutuskan memusingkan telur untuk melihat sekali lagi sama ada gelembung itu bergerak dan ia berlaku demikian.

“Jadi, kami tidak melakukan sebarang rawatan invasif kerana ia sangat jarang berlaku dan kandungan di dalamnya mungkin mempunyai nilai saintifik tinggi.

“Kulit telur amat sensitif dan apa-apa sahaja diletakkan pada permukaan itu mungkin mencemarkan kandungan cecair di dalamnya,” katanya.

Dilaporkan, telur dijumpai itu mungkin digunakan untuk tujuan keagamaan antara 270 dan 300 Masihi.

Tiga lagi telur ayam yang lain turut ditemukan di lokasi sama, dilaporkan pecah selepas terdedah kepada udara.

Selain telur, bakul tenunan, bekas tembikar, duit syiling, kasut kulit dan bangkai haiwan turut ditemukan semasa penggalian di Berry Fields antara 2007 dan 2016.

Sementara itu, Goodburn-Brown berkata, telur itu diawet dengan baik dan mampu bertahan untuk jangka masa lama disebabkan ia berada di dalam lubang berisi air.

“Bahan organik dan cecair biasanya tidak tahan lama melainkan situasi khas seperti dilitupi dengan tanah liat atau lumpur dan tiada oksigen di sekelilingnya,” katanya.

Artifak itu kini disimpan di Muzium Discover Bucks di Aylesbury.

Para penyelidik memikirkan cara untuk mengekstrak kandungan cecair dari telur tanpa menjejaskannya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×