Ulama sepatutnya didekati bukan dimusuhi

Ulama sepatutnya didekati bukan dimusuhi

OTHMAN DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEWASA ini kita melihat ada sesetengah pihak tanpa segan silu mengecam dan melontar kata-kata kurang enak malah tohmahan kepada golongan agamawan termasuk ulama secara terbuka termasuk di media sosial.

Amat menyedihkan apabila jari jemari bagaikan terasuk dengan hati yang kelam sehingga sanggup menghina apabila ulama berkenaan memberi pandangan yang berbeza dengan empunya diri.

Hakikatnya, apa yang dilontarkan oleh ulama-ulama ini adalah berasaskan rujukan yang mereka peroleh daripada al-Quran mahupun kitab yang mereka warisi daripada zaman Rasulullah SAW.

Namun bagi golongan ulama itu sendiri perkara tersebut bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ia sudah disebut dalam hadis yang tidak kurang menggambarkannya sebagai tanda-tanda kecil kiamat.

“Banyak tanda kiamat dan Rasulullah SAW pernah bersabda antaranya bermaksud orang yang jahat berani melawan orang baik,” ujar seorang ulama dari Sik Kedah, Tok Guru Othman Din.

Di sebalik kejadian kecam mengecam itu kata Tok Guru berusia 57 tahun ini, kebanyakan tokoh agama atau agamawan sepertinya lebih gemar mengambil sikap berdiam diri daripada membahaskan perkara termasuk tohmahan berbentuk provokasi.

“Kami ini tidak pernah terasa hati walaupun tiada yang mendekati malah ada yang mengecam golongan seperti kami kerana kami ikhlas untuk berdakwah kepada umat Islam.

“Cara orang alim ini, dia tak berapa nak kisah, kadang tak berupa nak layan, nak jawab. Apa yang dia nak buat adalah beramal ibadat kepada Allah SWT. Sebab itu, saya lihat bila ada agamawan yang dikecam mereka berdiam sahaja. Mereka ambil pendirian mendiamkan diri kerana lagi dibahas lagi menjadi,” katanya ketika ditemui di Madrasah Darul Muhtadin di Jeniang, Sik baru-baru ini.

Begitu juga tidak sekelumit rasa marah apatah lagi ingin menjauh dengan dakwah yang mereka cuba sampaikan kepada seluruh umat Islam demi amanah yang terpikul di bahu masing-masing, katanya.

Namun pengasas Madrasah Darul Muhtadin itu juga memberitahu, sebagai mereka yang mengetahui selok belok berkaitan agama apa yang diharapkan adalah seluruh umat Islam tidak termakan dengan agenda setengah anasir untuk merendah-rendahkan golongan itu.

“Nabi SAW sudah menyebut perkara ini akan berlaku, “Golongan Yahudi berpecah kepada 71 dan 72 golongan, golongan Nasrani juga berpecah kepada 71 dan 72 golongan dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan.

“Daripada 73 golongan ini hanya satu golongan sahaja yang akan ke syurga iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah. Itu asas yang semua orang Islam kena tahu dan sabda Nabi SAW ini jelas menunjukkan sesiapa yang berpegang dengan akidah dan sunnah yang dibawa Baginda itu golongan yang terselamat,” kata Tok Guru yang aktif berdakwah termasuk di media sosial berkaitan ilmu tauhid, feqah dan tasawuf ini.

Bekas guru takmir Kedah ini menambah, di sebalik pelbagai polemik seperti itu golongan ulama termasuk dirinya akan terus berdakwah dan mengajak umat Islam ke arah kebaikan dengan amal ibadat yang disuruh oleh Allah SWT.

“Kepentingan untuk orang Islam itu adalah untuk belajar ilmu feqah, tauhid dan tasawuf. Ikut salasilah dan ulama, mereka sebut tiga ilmu ini tidak dapat tidak kena ambil tahu. Sebagai ulama, kami berusaha menyampaikan ilmu-ilmu itu dengan cara yang paling mudah dan menggunakan kitab-kitab yang senang difahami.

“Oleh itu, jangan takut untuk dekati alim ulama ini untuk belajar tentang kitab-kitab ini yang cuba menerangkan tentang perkara asas dalam amal ibadat. Seperti saya akan menggunakan kitab, Takribul Ikhwan, Hidayatus Subyan, Mizanuz Zarari, Faridatul Faraid, Feqah dan Muniyatul Musalli,” jelasnya.

Beliau pada masa sama berharap agar institusi pondok itu meraih perhatian generasi muda untuk belajar ilmu agama dan memahirkan diri masing-masing dalam amal ibadat.

“Sistem pengajian pondok kalau ikut sambutan anak muda masih dingin terutama sekali kitab-kitab ini dalam bahasa Jawi, banyak orang muda tak boleh baca.

“Tetapi kami cuba untuk mengajar kerana sekarang ada kitab-kitab yang sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu,” katanya yang pernah berguru dengan lebih 13 ulama tersohor negara ini sejak remaja.

TOK GURU OTHMAN DIN
Tarikh Lahir: 3.12.1966
Tempat Lahir: Kampung Seberang Pumpong, Alor Setar Kedah
Pendidikan:
– Sekolah jenis kebangsaan China (SJKC) Pumpong,
Alor Setar
– Sekolah Menengah Tunku Abdul Malik, Alor Setar
– Pondok Pasir Tumboh,
Kelantan.
– Madrasah Narathiwat
di Selatan Thailand
– Pondok Dala Pattani
Thailand-UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×