KEBANYAKAN kafe hipster atau Instagrammable cafe kebiasaan menyediakan pelbagai menu menarik dengan dekorasi kedai berkonsepkan gaya sama ada urban, Inggeris, retro moden mahu pun tradisional.
Antara sajian yang selalunya ditawarkan kepada pengunjung kafe hipster ini adalah meliputi minuman panas seperti coklat atau kopi manakala makanan pula lebih kepada ala Barat bersama pemanis mulut antaranya waffle, croissant, kek, dan pelbagai lagi.
Bagaimanapun, Hyroop Cafe yang beroperasi di Bangunan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Jejawi, di Perlis menampilkan kelainan dengan turut menawarkan sajian hidangan panas buat pelanggan sekaligus memberi lebih pilihan kepada mereka.

Dengan menampilkan kombinasi sajian ala Barat, fusion, pastri bersama makanan panas, pemilik Hyroop Cafe, Hazlina Hashim, 43, cuba mengetengahkan konsep berlainan bagi membolehkan pengunjung menikmati pelbagai jenis hidangan,
Hazlina berkata, pihaknya menawarkan pelbagai jenis konsep makanan bertujuan bagi memberi lebih pilihan buat pengunjung untuk menikmati juadah di kafe berkenaan tanpa mengira lapisan umur.
“Konsep di sini adalah kita mahukan semua orang boleh makan daripada kanak-kanak sehinggalah ke orang dewasa dan disebabkan itulah Hyroop Cafe tampilkan sajian makanan panas di kafe hipster ini.
“Memang jarang kita dengar kafe hipster menyediakan makanan panas dan kita cuba ambil peluang ini memandangkan ada sesetengah pelanggan mahukan sajian sedemikian,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut, Hazlina berkata, antara sajian panas yang mendapat permintaan tinggi di kafe miliknya itu adalahi nasi goreng ikan, mee kuah dan bakso.
Katanya, selain itu, sajian pencuci mulut seperti pastri, croissant dan focacia bread turut menjadi antara makanan yang diminati pelanggannya.
“Nasi goreng ikan ini mendapat permintaan tinggi kerana apabila pengunjung menikmati sajian ini, mereka seolah-olah seperti mengimbau kenangan lama suatu ketika dulu bersama rasanya yang enak. Kebanyakkan hidangan disediakan di sini juga menggunakan resipi sendiri dan diolah mengikut kesesuaian,” katanya.
———————————————————————————————–
Lokasi: Bangunan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Jejawi, Perlis
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Ahad dari pukul 9.30 pagi sehingga 7 petang
Antara Hidangan Popular: Nasi goreng ikan, mi kuah dan bakso
————————————————————————————————
Dalam pada itu, Hazlina berkata, hidangan yang disediakan di kafe miliknya itu juga menawarkan harga berpatutan bermula serendah RM3.90 sehingga RM21.90.
Katanya, terdapat lebih 30 menu menarik yang disediakan di kafe berkenaan bagi memudahkan pengunjung membuat pilihan bersesuaian dengan selera masing-masing.
“Selain makanan, sajian minuman yang terdapat di kafe ini seperti latte, americano, teh dan jus buah-buahan turut menjadi antara pilihan pengunjung,” katanya.
Sementara itu, Hazlina berkata, dia mendapat cetusan idea bagi membuka kafe itu selepas melihat potensi dalam bidang makanan dan minuman (F&B) sewaktu pulang menetap di Perlis sekitar tahun 2022.
Menurutnya, sebelum ini, dia bergiat aktif dalam menyediakan perkhidmatan latihan dan pakar motivasi ketika menetap di Taiping, Perak bersama keluarganya.
“Sewaktu mula balik ke Perlis, saya lihat potensi dalam bidang F&B ini agak cerah dan disebabkan itulah saya jalankan perusahaan ini secara serius,” katanya.
Di samping itu, Hazlina berkata, Hyroop Cafe beroperasi pada setiap hari kecuali Ahad bermula pukul 9.30 pagi sehingga 7 petang.
Katanya, selain penduduk tempatan, kafe berkenaan turut menjadi tumpuan pengunjung luar yang bercuti ke negeri ini khususnya pada hujung minggu dan cuti persekolahan.
“Kami turut giat melakukan promosi menerusi laman sosial bagi menarik lebih ramai pengunjung ke sini,” katanya. –UTUSAN










