Lelaki ditahan bersama 2kg ganja di kondominium

Lelaki ditahan bersama 2kg ganja di kondominium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan seorang lelaki di sebuah kondominium di Wangsa Maju dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun itu pada 2.55 petang.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas 2,006 gram ganja dan 100 pil erimin 5 dianggarkan bernilai RM7,346 yang ditemukan di dalam Proton Persona.

“Kita turut menyita kereta berkenaan yang bernilai RM43,000 menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan kenderaan sebanyak RM50,404.

“Rampasan dadah itu boleh menampung seramai 2,106 penagih dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, sindiket pengedaran dadah itu dikesan aktif sejak enam bulan lalu di sekitar Lembah Klang.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mengikut pesanan diterima.

“Polis masih menjalankan siasatan untuk mendapatkan lokasi bekalan dadah itu diperolehi,” katanya.

Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.

“Semakan mendapati suspek berkenaan mempunyai empat rekod berkaitan dadah.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 Februari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×