PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mula mencari lawan bagi menguji anak-anak buah Kim Pan Gon sebelum berdepan Oman, bulan depan.
Ia bagi memastikan Harimau Malaya tidak terus lena akibat rehat yang panjang sehingga tidak terlibat perlawanan kompetitif selepas Piala Asia 2023.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, skuad kebangsaan akan diuji dalam aksi persahabatan sebelum bertemu Oman dua kali bulan depan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2026.
Hamidin berkata, perlawanan itu penting bagi memastikan Harimau Malaya yang kini menghuni ranking ke-132 dunia berada pada tahap terbaik dan seterusnya mampu mencipta kejayaan positif apabila bertemu Oman.
“Kita akan melihat kepada kesesuaian pasukan dan skuad Kim Pan Gon akan beraksi untuk beberapa perlawanan persahabatan.
“Perlawanan terbabit cukup penting kerana kita mahu barisan pemain bersedia sebelum berlepas ke Oman nanti,” kata Hamidin.
Berdasarkan rekod, skuad Harimau Malaya terlebih dahulu akan berkunjung ke Muscat, Oman pada 22 Mac ini sebelum melayan kunjungan skuad Red Demons di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), empat hari kemudian.
Keputusan dalam dua aksi berdepan pasukan ranking ke-80 dunia itu bakal mempengaruhi peluang buat Harimau Malaya menempah tiket awal ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Juara dan naib juara kumpulan akan meraih slot ke Piala Asia 2027 dan melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Ketika ini skuad kebangsaan mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan dalam dua aksi awal sebelum ini meletakkan skuad negara pada landasan terbaik untuk sekali lagi layak ke pusingan akhir Piala Asia.
Harimau Malaya memimpin Kumpulan D, mendahului dua pasukan ranking lebih tinggi, Oman (80) dan dan Kyrgyzstan (104) yang berkongsi tiga mata, manakala Taiwan (153) di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata. – UTUSAN










