Sime Darby Property jangka kesan pada margin keuntungan

Sime Darby Property jangka penyusutan ringgit beri kesan pada margin keuntungan

SIME Darby Property naikkan unjuran jualan tahun ini kepada RM3.5 bilion. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property (SDP) Berhad mengakui penyusutan ringgit boleh memberi kesan kepada margin keuntungannya akibat kenaikan kos bahan mentah.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, setiap penyusutan satu peratus ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akan diterjemahkan kepada 0.15 peratus atau sehingga 0.25 peratus peningkatan dalam kos pembinaan.

“Ya, ada kesan kerana kami menggunakan bahan import. Oleh itu, terdapat beberapa perkara berkaitan margin boleh memberi impak pada masa hadapan sekiranya (kenaikan) itu berterusan.

“Pada suku pertama tahun ini, syarikat merasakan keadaan tidak terlalu teruk dan terdapat situasi yang membolehkan syarikat dapat menyerapnya dengan baik,” katanya dalam sidang media secara dalam talian di sini, semalam.

Bagaimanapun, Azmir positif ringgit akan mengukuh kembali tahun ini.

Dalam pada itu, SDP mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak 29 peratus kepada RM407.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, berbanding RM315.8 juta pada tahun sebelumnya.

Bagi tempoh yang sama, syarikat mencatatkan pendapatan dan keuntungan operasi yang tertinggi sejak pengasingannya pada 2017, masing-masing sebanyak RM3.4 bilion dan RM606.4 juta.

Menurutnya, prestasi lebih baik didorong oleh pencapaian jualan yang kukuh dan peningkatan dalam kemajuan pembangunan di perbandaran-perbandaran utama di bawah segmen pembangunan hartanah, yang turut disokong oleh aktiviti-aktiviti penghasilan pendapatan tanah bukan asas.

Bagi suku keempat pula, SDP mencatatkan kenaikan untung bersih sebanyak 27.25 peratus kepada RM131.26 juta daripada RM103.15 juta pada suku sama tahun lalu didorong oleh prestasi jualan hartanahnya yang kukuh .

Hasil suku tahunan meningkat 5.83 peratus kepada RM1.01 bilion daripada RM956.9 juta sebelumnya.

SDP turut mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 2.5 sen se saham untuk tahun kewangan 2023.

Sementara itu,  Azmir menyasarkan jualan sebanyak RM3 bilion dan pelancaran berjumlah RM3.9 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV) untuk tahun kewangan 2024.

Jelasnya, SDP juga akan mengembangkan komponen runcit dan placemaking dengan pembukaan rasmi pusat beli-belah, Elmina Lakeside Mall di Bandar Elmina bagi suku kedua tahun kewangan 2024 yang merupakan pusat beli-belah milik penuh syarikat yang kedua.

“Syarikat itu kekal optimistik dengan peluang untuk berkembang dalam sektor ini bagi memperluaskan penjanaan pendapatan berulang untuk jangka masa yang panjang,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×