Peguam Israel keluar surat amaran tindakan keterlaluan tentera Zionis

Peguam Israel keluar surat amaran tindakan keterlaluan tentera Zionis

SEORANG tentera Israel berdiri di sebuah apartmen semasa operasi darat di Semenanjung Gaza.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Peguam tertinggi tentera Israel mengeluarkan surat amaran kepada askar rejim Zionis berhubung kelakuan tidak wajar mereka termasuk penggunaan kekerasan yang keterlaluan dan rompakan terhadap penduduk Gaza.

Jeneral Peguam Bela Tentera Israel, Mejar Jeneral Yifat Tomer-Yerushalmi mengeluarkan amaran itu dalam sepucuk surat Rabu lalu seperti dilaporkan akhbar Haaretz, menegaskan sukar untuk membesar-besarkan kekejaman tindakan askar selama hampir lima bulan perang di wilayah itu.

Tindakan mereka termasuk kenyataan tidak wajar yang menggalakkan reaksi keterlaluan, penggunaan kekerasan yang tidak wajar, pemusnahan harta awam dan rompakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Tomer-Yerushalmi dalam surat bertajuk Pertempuran dan Kemenangan Menurut Undang-undang, semua tingkah laku itu jelas melanggar perintah dan melangkaui batas perbuatan jenayah.

Surat itu menggariskan bahawa tindakan tentera Israel menyimpang daripada perintah dan sempadan disiplin dan jelas tidak memenuhi nilai ketenteraan yang akhirnya menyebabkan kerosakan strategik kepada seluruh Israel di arena antarabangsa.

Peguam wanita itu turut memberi isyarat bahawa beberapa kes sedang disiasat dan Kor Jeneral Peguambela Tentera akan memutuskan sama ada tindakan jenayah atau tatatertib perlu diambil.

“Tindakan dan kenyataan ini di pihak individu yang tidak mewakili secara kolektif. Ia jelas bertentangan dengan tentera Israel sebagai tentera profesional, bermoral, bermaruah dan mereka tidak mempunyai tempat dalam institusi kami,” katanya.

Surat Tomer-Yerushalmi dikeluarkan sehari selepas Ketua Kakitangan Tentera Israel, Herzi Halevi mempertahankan anggotanya mendakwa mereka tidak membalas dendam mahupun melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Surat itu dibuat di tengah-tengah peningkatan tekanan antarabangsa terhadap Israel berhubung serangan tanpa had yang memusnahkan Semenanjung Gaza.

Sejak beberapa minggu lalu, beberapa negara, termasuk Australia, Kanada, New Zealand, Sepanyol dan Ireland memberi amaran kepada Israel untuk menghentikan rancangannya melancarkan serangan darat di bandar sempadan Rafah, di mana lebih 1.4 juta penduduk Palestin kini berlindung.

Bulan lalu, seorang pegawai hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru penganiayaan terhadap tahanan Palestin melibatkan hukuman penjara berminggu-minggu di lokasi rahsia, penderaan fizikal dan penghinaan oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza dihentikan segera.

Beberapa video yang dikongsi oleh tentera Israel sejak perang bermula menunjukkan beratus-ratus lelaki Palestin yang ditutup mata dan hanya berseluar dibiarkan kesejukan dengan rakaman terbaharu menunjukkan wanita serta kanak-kanak turut diperlakukan sedemikian.

Tentera Israel juga merakamkan perbuatan mereka mengejek rakyat Palestin dan menyiarkan video itu di media sosial ketika meneruskan serangan di Gaza yang sudah membunuh lebih 29,000 orang.

Tentera rejim Zionis juga menyiarkan video mereka mencuri dari rumah penduduk Palestin di Gaza, dengan pejabat media kerajaan melaporkan wang tunai, emas dan barang berharga bernilai lebih AS$25 juta (RM119.43 juta) dirompak dalam tiga bulan pertama perang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini