Saham BFood jatuh 5.3 peratus

Saham BFood jatuh 5.3 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saham Berjaya Food Bhd. (BFood) jatuh sebanyak 5.3 peratus semalam, dengan penganalisis memberi amaran syarikat itu mungkin mengalami ‘tekanan’ pendapatan yang berterusan susulan keputusan suku kedua yang lemah daripada jangkaan.

BFood melaporkan kerugi­an bersih sebanyak RM42.58 ju­ta bagi suku kedua berakhir 31 Disem­ber 2023 (2Q TK2024), menjadikan jumlah kerugian terkumpul enam bulan kepada RM23.55 juta, berbanding keuntungan bersih RM70.19 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Dalam sesi dagangan pagi semalam, saham BFood turun kepada 54 sen, terendah sejak 5 Februari lalu. Sebelumnya, pada pukul 9.30 pagi, saham syarikat itu didagangkan pada 55 sen, dengan lebih 4.1 juta saham bertukar tangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penganalisis berkata, prospek pendapatan BFood kekal sukar di tengah-tengah tindakan boikot yang berterusan oleh pengguna terhadap francais utamanya, Starbucks yang menyumbang kira-kira 90 peratus daripada hasil syarikat.

Maybank Investment Bank berkata, BFood dijangka menghadapi “tekanan pendapatan dalam suku tahun seterusnya.”

“Walaupun tahap keterukan boikot mungkin berkurangan dari semasa ke semasa, namun pilihan pengguna juga mungkin beralih secara kekal kepada pesaing disebabkan oleh hakisan jenama,” katanya dalam nota kajian.

Starbucks, bersama beberapa jenama global lain seperti McDonald’s, telah menghadapi pemboikotan yang hebat kerana sokongan atau hubungan mereka dengan Israel di tengah-te­ngah konflik yang berterusan di Gaza.

Menurut laporan, BFood te­lah kehilangan kira-kira 25 peratus daripada nilai pasarannya di Bursa Malaysia, apabila Israel meningkatkan serangan di Pa­lestin.

Empat daripada enam pe­nganalisis meletakkan penarafan ‘jual’ dan dua masih mengesyorkan ‘beli’ kepada kaunter BFood, dengan median harga sasaran (TP) 12 bulan sebanyak 52 sen, dengan potensi penurunan 3.7 peratus daripada harga semasa, menurut laporan The Edge.

Selain Maybank Investment, Hong Leong Investment Bank turut menurunkan penarafan kepada ‘jual’ dengan berkata, jualan (Starbuck) akan mengambil masa untuk kembali normal memandangkan konflik Israel-Gaza masih sengit dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk reda.

Ia turut menjangkakan BFood akan menghadapi masa yang sukar walaupun usaha kawalan kos dibuat disebabkan kesan pertukaran asing. Ini kerana, sebanyak 55 peratus daripada kos minuman yang dibeli daripada Starbucks International didominasi dalam dolar Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan, ringgit setakat ini telah menyusut lebih daripada 4 peratus berbanding dolar AS.

Dalam laporan kepada Bursa Malaysia kelmarin, BFood me­ngumumkan kerugian bersih sebanyak RM42.58 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2023 (2Q TK2024), menjadikan jumlah kerugian terkumpul enam bulan kepada RM23.55 juta, berbanding keuntungan bersih RM70.19 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, syarikat itu menjangkakan penambahbaikan hasil pada masa akan datang.

“Lembaga Pengarah percaya prestasi operasi akan pulih dan mendapatkan semula momentum dan melihat keadaan semasa sebagai jangka pendek serta menjangka kemajuan positif pada masa hadapan,” kata syarikat itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini