SAUDARA PENGARANG,
AGAMA Islam di Malaysia terjaga dengan baik. Antara faktor kepada keterjagaan ini adalah undang-undang, raja pemerintah sebagai ketua agama, pondok, kitab yang digunakan dan sebagainya.
Selain itu, antara faktor penting untuk agama Islam kekal dijaga dengan baik ialah tradisi umat Islam dalam beragama.
Tradisi umat Islam di Malaysia berdasarkan ilmu tauhid sifat 20. Tradisi umat Islam dalam ilmu tauhid adalah berdasarkan Manhaj Asha’irah yang juga menjadi tradisi para ulama silam termasuk di Mesir.
Manhaj Asha’irah berpegang teguh dengan nas syarak dan menggunakan akal fikiran dengan cermat dan tidak mengkafirkan sesama umat Islam.
Dengan manhaj ini, fahaman dan ajaran yang menyelisihi Ahli Sunnah Wal al-Jamaah dikekang daripada menjadi aliran arus perdana dalam umat Islam.
Pada masa sama, manhaj ini sewajarnya dikembangkan sebagai satu alat untuk menzahirkan kebenaran akidah Islam menghadapi akidah yang tidak mentauhidkan Tuhan.
Tradisi umat Islam dalam fiqah adalah berdasarkan mazhab Syafie. Tiga lagi mazhab iaitu mazhab Hanafi, mazhab Maliki dan mazhab Hanbali juga diterima baik bagi menyelesaikan masalah fiqah dan kehidupan umat Islam.
Dengan tradisi ini, fahaman anti mazhab fiqah dengan alasan ijtihad dikekang sebaiknya. Pada masa sama, pengajaran fiqah berdasarkan mazhab ini sewajarnya dipermudahkan bagi menampakkan keanjalan Islam.
Tradisi umat Islam juga beramal dengan ilmu tasawwuf iaitu ilmu pembersihan jiwa daripada sifat buruk dan seterusnya berhias dengan sifat mulia.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah membuang sifat keji seperti hasad dengki, riyak, sombong dan sebagainya. Antara perkara yang diberi perhatian ialah menekankan sifat mulia seperti tawadhuk, ikhlas, dermawan, pemaaf, tidak marah dan sebagainya.
Dengan tradisi ini, tasawwuf yang dibawa berpijak di bumi nyata, tidak menolak pembangunan dunia dan tasawwuf yang hidup bermasyarakat.
Dengan tradisi ini, pemikiran tasawwuf yang melampau dan pelik dikekang daripada menjadi aliran tasawwuf arus perdana umat Islam.
Tradisi umat Islam terus berpegang teguh dengan riwayat hadis khususnya enam kitab hadis utama kerana ia tidak diambil hanya berdasarkan mimpi atau dakwaan bertemu dengan nabi atau hadis yang direka cipta.
Sewajarnya pengajian hadis dipergiatkan agar umat mempunyai sumber agama iaitu hadis nabi.
Dalam soal qiraat, bacaan al-Quran dengan qiraat berbeza tidak salah namun mungkin mengundang ketidakselesaan umat Islam kerana menganggap ia bacaan yang salah. Maka tidak sewajarnya dibawa bacaan dengan qiraat berbeza tanpa masyarakat bersedia.
Terdapat bentuk tafsiran secara batin yang biasanya pasti merosakkan dasar agama Islam. Maka tradisi pentafsiran al-Quran perlu dijaga dengan cermat.
Umat Islam turut mengamalkan beberapa amalan secara sederhana. Contohnya, sambutan Maulidur Rasul dan pengurusan jenazah.
Tradisi umat Islam secara umumnya sudah diperakui oleh para ulama. Ia sudah diamalkan sejak puluhan tahun bahkan ratusan tahun.
Maka memelihara tradisi umat Islam dalam beragama ini adalah penting bagi menjaga agama Islam. Dengan memelihara tradisi ini, umat Islam akan jauh dari perbalahan.
Penambahbaikan jika perlu harus dilakukan dengan cermat tanpa mengundang permusuhan sesama umat Islam.-UTUSAN
DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR
Jabatan Pengajian Kenegaraan
dan Ketamadun Fakulti Ekologi Manusia
Universiti Putra Malaysia










