Khutbah Jumaat tentang zakat di Selangor bukan retorik - MAIS - Utusan Malaysia

Khutbah Jumaat tentang zakat di Selangor bukan retorik – MAIS

Zakat Selangor
ABDUL Aziz Mohd. Yusof merasmikan kempen fidyah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Khutbah Jumaat di Selangor berkaitan topik zakat bertujuan memberi peringatan kepada umat Islam menunaikan kewajipan itu dan bukannya sekadar retorik semata-mata.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, isi khutbah yang dibacakan khatib di semua masjid dan surau dibincangkan menerusi satu jawatankuasa khas.

Menurutnya, topik zakat menjadi fokus kerana isu penyalahgunaan dan penyelewengan kutipan zakat yang berlaku sejak kebelakangan ini.

“Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk memberi peringatan kepada umat Islam supaya mengelak mereka berasa was-was atau curiga menunaikan rukun Islam keempat itu.

“Bagi saya, tidak salah memberi khutbah Jumaat berkaitan zakat di dalam masjid atau surau dan ia bukannya perkara negatif,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah Selangor, hari ini.

Minggu lalu, pelakon, Wan Raja meluahkan pandangannya berhubung topik zakat yang disampaikan oleh khatib sebelum solat Jumaat, baru-baru ini.

Beliau mendakwa seluruh masjid di Selangor ataupun sebahagian daripadanya memilih topik yang didakwa tidak sesuai dan tidak mendatangkan ‘feel’ kepada jemaah.

Tambah Abdul Aziz, pihaknya yakin Lembaga Zakat Selangor (LZS) melaksanakan tanggungjawab mereka sebaik mungkin selama ini.

“Sudah pasti pelbagai tindakan diambil LZS bagi memastikan kelancaran kutipan zakat sama ada penerangan atau peraturan yang ditetapkan. Saya juga sudah memberitahu tidak akan berlaku walau satu sen pun pengisytiharan zakat di Selangor,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MAIS berjaya melaksanakan kutipan fidyah sebanyak RM12.5 juta tahun lalu.

“Jumlah itu melebihi sasaran RM11.5 juta yang ditetapkan dan RM11.9 juta daripadanya diagihkan kepada mereka yang layak. Tahun ini, MAIS mensasarkan kutipan fidyah sebanyak RM14 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×