KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud atas pemergian seorang tokoh negara yang banyak memberi sumbangan kepada negara.
Dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Kudat hari ini, Mohd. Shafie yang juga bekas Ketua Menteri menyatakan pemergian Taib Mahmud adalah satu kehilangan besar kepada negara.
Beliau berkata, bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak itu merupakan seorang tokoh negara yang telah banyak memberi sumbangan bukan hanya kepada Sarawak bahkan Malaysia.
“Beliau (Taib Mahmud) pernah menjadi menteri di peringkat Persekutuan maknanya sumbangan beliau cukuo besar bukan hanya kepada pembangunan negara bahkan kepada menyatukan rakyat,” katanya.
Menurut Mohd. Shafie, sejak Taib Mahmud menjadi pemimpin, dia menggembleng tenaga untuk membolehkan rakyat Sarawak bersatu tidak kira Melayu, Melanau, Bidayuh mahupun Iban.
Katanya, semua rakyat mendapat tempat di bawah satu kepimpinan sehingga Sarawak dapat dibangunkan dan dimajukan ketika pemerintahan Taib Mahmud.
Mohd. Shafie berkata, beliau mengambil ruang yang ada untuk mengucapkan takziah kepada semua anggota keluarga dan semoga roh beliau dicucuri Rahmat.
“Saya mengambil ruang yang ada untuk mengucapkan takziah kepada semua keluarga Tun Taib dan kita doakan roh beliau dicucuri Rahmat Allah SWT,” katanya.
Allahyarham Taib Mahmud, 87, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.28 pagi di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur, hari ini. –UTUSAN











