KUALA LUMPUR: Co-labs Coworking, perniagaan ruang pejabat bersama di bawah Paramount Corporation Bhd. mengunjurkan pertumbuhan rangkaiannya di Lembah Klang pada tahun ini dan mengambil kira untuk meluaskan kehadirannya di Pulau Pinang dan Johor pada masa depan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Benjamin Teo berkata, pihaknya dalam peringkat akhir perundingan untuk membuka lokasi kelapan yang dijangka dilancarkan pada pertengahan atau awal suku ketiga tahun ini.
Katanya, sama seperti kebanyakan lokasinya sebelum ini yang terletak di kawasan strategik yang mudah dengan akses pengangkutan awam dan kemudahan lain, lokasi kelapan tersebut terletak di pembangunan berorientasikan transit (TOD).
“Dengan secara ‘remote’ dan jadual fleksibel menjadi semakin popular, ‘coworking’ adalah penyelesaian yang sempurna untuk memenuhi permintaan yang berubah-ubah dalam landskap pejabat pasca Covid-19.
“Ruang kami direka bentuk untuk menampung gabungan kerjasama secara peribadi dan maya, dengan lebih banyak ruang terbuka dan kemudahan berkongsi.
“Melalui pengaturcaraan komuniti kami, kami memberi tumpuan yang lebih besar pada kesejahteraan dan kemampanan dengan ruang kami direka untuk mempromosikan kesihatan pekerja dan kelestarian alam sekitar,” katanya ketika ditemui pada pelancaran lokasi ketujuhnya di The Five, Damansara Heights di sini hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, lokasi ketujuh yang dibuka sejak Januari lalu telah mencapai 40 peratus penghunian, manakala penghuni bagi keseluruhan 167,000 kaki persegi Co-labs Coworking telah mencapai 75 peratus ketika ini.
“Kami sudah mempunyai 167,000 kaki persegi ketika ini di tujuh lokasi. Jika kami dapat menggandakan kepada 300,000 kaki persegi dalam masa dua tahun lagi, maka itulah adalah sesuatu yang ideal,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengarah Paramount Coworking berkata, keyakinan Co-labs Coworking dapat dilihat dengan pertumbuhan 47 peratus dalam tempoh tiga bulan terakhir.
“Hari ini Co-labs Coworking adalah satu daripada tiga pengendali ruang pejabat bersama teratas di Malaysia,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya memberi tumpuan untuk mengembangkan lagi Co-labs Coworking di negara ini, namun tidak menolak kemungkin untuk memperluaskan luar negara jika terpaksa peluang yang menarik. – UTUSAN










