SEREMBAN: Sebuah kilang haram yang menjalankan aktiviti perleraian bahan-bahan sisa buangan elektronik (e-waste) diserbu dalam operasi bersepadu melibatkan beberapa buah agensi di Jalan Kuala Sawah, Kampung Puchong di sini pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, serbuan hasil maklumat awam itu menemukan terdapat sisa buangan tersebut yang seberat kira-kira 200 tan dipercayai dibawa masuk ke negara ini dari Amerika Syarikat dan China melalui Pelabuhan Klang, Selangor serta telah diisytihar secara salah.
“Kilang ini memang tiada apa-apa papan tanda, mereka buat kerja melerai sisa buangan elektronik secara haram, ia memang beri kesan buruk kepada alam sekitar dan juga kesihatan penduduk setempat malah ia juga hanya terletak 100 meter dari Sungai Linggi.
“Kegiatan ini dipercayai didalangi oleh warga China dan pekerjanya dari Myanmar. Kilang ini kepunyaan rakyat tempat namun kami difahamkan telah disewakan kepada warga China dengan kadar RM38,000 sebulan, ia sudah beroperasi sejak tahun 2020 namun berhenti seketika namun kembali aktif menjalankan aktiviti meleraikan bahan buangan elektronik ini sejak tahun lalu,” katanya kepada pemberita di sini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut terhadap premis kilang berkenaan telah mendapati ia telah melakukan sembilan kesalahan di bawah bidang kuasa tujuh buah agensi.
Tegas Veerapan, antara kesalahan terlibat termasuklah di bawah Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu menjalankan operasi peleraian sisa buangan elektronik tanpa lesen dan Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu gagal mengemukakan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi aktiviti peleraian sisa buangan yang sama.
Menurutnya, premis tersebut juga didapati tidak mempunyai sijil perakuan penginapan pekerja sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24D Akta Standard Kemudahan dan Penginapan Pekerja (Akta 446).

“Jika dilihat tempat tinggal pekerja mereka sangat kotor dan menjijikkan, difahamkan terdapat kira-kira 60 orang pekerja warga asing majoritinya dari Myanmar tinggal di sini.
“Semasa serbuan ramai yang berjaya melarikan diri namun tujuh orang berjaya ditangkap iaitu lima orang dari Myanmar dan dua dari Bangladesh. Mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya lagi.
Jelas beliau, seramai 71 orang terlibat dalam operasi yang bermula pukul 10 pagi tersebut iaitu dari pihak polis, Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Perhilitan dan Majlis Bandaraya Seremban.
“Saya minta rakyat negeri ini untuk terus menjadi mata dan telinga kerajaan supaya kita dapat kesan dan ambil tindakan terhadap pelaku jenayah alam sekitar ini.
“Kilang-kilang haram ini telah melakukan kesalahan, alam sekitar terjejas apatah lagi ia sangat dekat dengan Sungai Linggi yang jika tidak diambil tindakan akan memberi kesan kepada rakyat, dalam kes ini kami akan bawa semuanya ke muka pengadilan termasuk pemilik kilang,” katanya lagi.-UTUSAN.











