JEMPOL: Kanak-kanak lelaki empat tahun yang maut selepas dihempap pokok di Taman Eko Rimba Serting Ulu, Jempol, sebelum ini kerap memberitahu akan mendapat sebuah rumah baharu.
Datuk saudaranya, Amir Zulhairi Mohd. Yusof, 48, berkata, perkara itu dikatakan sendiri kanak-kanak itu, Umar Din Ayden Aminuddin ketika mereka bertemu seminggu yang lalu.
Menurutnya, dia pada mulanya menganggap perkara itu disebabkan ibu kanak-kanak berkenaan ada membeli rumah.
“Dia memanggil saya Tok Teh dan memberitahu dia akan mendapat rumah baharu, saya fikirkan dia maksudkan rumah baharu yang ibunya beli, sejak dua minggu ni memang selalu Umar kata begitu kepada saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Serting Tengah, di sini, hari ini.
Dalam pertemuan berkenaan, pegawai dan anggota polis dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol serta Balai Polis Batu Kikir turut menziarahi keluarga mangsa.
Semalam, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook memberitahu, mangsa kanak-kanak lelaki berusia empat tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan hasil bedah disiasat mengesahkan punca kematian adalah kecederaan pada bahagian kepala dan dada akibat dihempap pokok.
Kakak mangsa yang berusia sembilan tahun pula mengalami kecederaan.
Menurutnya, polis menerima makluman awal melalui panggilan telefon oleh saksi yang berada di lokasi kejadian sekitar pukul 1.17 tengah hari dan segera ke lokasi kejadian bagi siasatan lanjut.
“Hasil siasatan awal ke atas saksi yang merupakan bapa mangsa mengatakan telah membawa kedua-dua mangsa untuk mandi di pusat rekreasi tersebut kira-kira pukul 1 tengah hari.
“Mangsa pada masa itu sedang mandi di kolam kanak-kanak dan kemudian bergerak ke arah saksi yang berada di kawasan jeram. Semasa menuju ke arah saksi, sebatang pokok tiba-tiba tumbang dan menghempap mangsa,” katanya yang memberitahu kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, Amir Zulhairi berkata, datuk mangsa yang juga abang iparnya, Abd. Rahman Samad, 61, masih terkesan dengan kejadian yang menimpa satu-satunya cucu lelakinya itu dan sudah dijaga sejak kecil.
Menurutnya, hampir setiap hari Umar dan kakaknya, Nora Adora Ayden tinggal bersama di rumah mereka selepas ibu mereka pergi bekerja.
Bercerita mengenai insiden berkenaan, menurutnya, itu merupakan kali kedua Umar ke kawasan rekreasi tersebut dan dalam kejadian terbaharu itu hanya dua kanak-kanak itu bersama bapa mereka pergi ke sana. –UTUSAN










