ALOR SETAR: Seorang lelaki Myanmar yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditahan bersama 32 warganegara itu termasuk isterinya dan bayi perempuan mereka berusia 14 bulan.
Suspek berusia 53 tahun itu dipercayai menjadi dalang kepada kegiatan membekalkan pekerja asing tidak sah di sekitar kawasan utara yang disyaki aktif sejak pertengahan tahun lalu.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, kesemua 16 lelaki dan 15 perempuan serta bayi tersebut ditahan di tiga premis berbeza di Taman Ria Jaya dan Taman Batik, Sungai Petani dalam operasi bermula pukul 10.25 malam.
“Serbuan di lokasi pertama berjaya menangkap lelaki terbabit yang dipercayai dalang utama sindiket. Turut ditangkap adalah lima perempuan dan bayi terbabit yang dipercayai tidak memiliki pas atau permit sah untuk tinggal di negara ini.
“Siasatan lanjut membawa penahanan 26 lagi warga Myanmar termasuk mereka yang tiada langsung dokumen perjalanan serta tinggal lebih masa selain kita merampas 24 pasport Myanmar untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Mohd. Ridzzuan berkata, lelaki terbabit dipercayai tinggal di negara ini sejak 35 tahun lalu dan fasih berbahasa Melayu serta mengetahui selok-belok di negara ini.
Katanya, tiada elemen penderaan ditemukan terhadap kesemua warga asing terbabit walaupun pintu jeriji besi premis-premis itu dalam keadaan berkunci dari luar dan anak kunci hanya dipegang lelaki terbabit.
“Dia bertindak demikian bagi mengelak penghuninya keluar dan berkeliaran di kawasan sekitar atau melarikan diri. Dia juga mengaku menyediakan dan menghantar makanan dua kali sehari bagi penghuni premis tersebut. Tinjauan juga mendapati warga asing ini hanya dibekalkan tikar dan tilam nipis sebagai alas untuk tidur.
“Kebiasaannya dalam serbuan seperti ini kita menemukan warga tempatan yang menjadi dalang tetapi kali ini rakyat Myanmar sendiri yang menjadi sindiket merekrut rakan senegaranya,” katanya.
Tambahnya, kesemua tangkapan kini direman selama 14 hari di Depot Imigresen Belantik untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 selain akan menjurus kepada Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Kita juga akan memanggil pemilik premis terlibat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan mana-mana Pendatang Tanpa Izin (PATI) memasuki atau tinggal di dalam premis,” katanya. -UTUSAN










