Buruh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun sebabkan kematian rakan tanpa niat - Utusan Malaysia

Buruh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun sebabkan kematian rakan tanpa niat

MOHD. Alias Mokhtar (dua, kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menyebabkan kematian tanpa niat terhadap rakannya, tahun lalu.

Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli membacakan keputusan itu hari ini selepas Mohd. Alias Mokhtar, 40, mengaku bersalah mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (KK).

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 45 tahun dengan niat menyebabkan bencana tubuh yang mungkin menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Gelugor Kedai di sini kira-kira pukul 8.30 malam pada 19 November tahun lalu.

Jika sabit kesalahan, Mohd. Alias boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Ketika prosiding hari ini, pihak pembelaan memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara satu pertiga daripada hukuman maksimum mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh.

Pihak pendakwaan dalam hujahan balas pula memohon hukuman setimpal kerana perbuatan dilakukan tertuduh adalah kesalahan yang perlu diambil serius dan pengajaran kepada semua.

Mohd. Zul Zakiqudin kemudian menjatuh hukuman penjara 10 tahun terhadap tertuduh bermula tarikh ditangkap iaitu 21 November 2023.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hayyatuddin Muhamad.

Dalam kejadian 19 November itu, tertuduh didakwa menyebabkan kematian ke atas kenalannya dengan mencederakan mangsa menggunakan tukul, topi keledar dan pisau sehingga mendatangkan 37 kesan luka.

Mangsa ditemukan meninggal dunia keesokan hari oleh jirannya kira-kira pukul 10 pagi sebelum mangsa ditangkap pihak polis di Kampung Bukit Payung dekat Marang pada 21 November.

Kejadian itu dikatakan bermula dengan pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka berpunca hutang lampau berjumlah RM1,000 oleh mangsa dan urusan jual beli bahan terlarang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×