KERJA-kerja ekskavasi di tapak arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah, yang menemukan dua buah arca Buddha hampir lengkap dan prasasti (tulisan kuno atas batu) kini sudah mencecah 50 peratus.
Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohamad Muda Bahadin berkata, kerja-kerja penyelidikan ekskavasi arkeologi yang bermula sejak September tahun lalu, dihentikan seketika dan dijangka disambung semula, Mac depan.

Jelasnya, aktiviti yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang itu ditangguhkan bagi memberi laluan untuk kerja penyelidikan dan penulisan mengenai kajian saintifik di makmal.
“Kerja 50 peratus itu melibatkan ekskavasi tapak dan struktur candi yang ditemui, bukan melibatkan keseluruhan tapak lagi. Kalau diikutkan masih ada lagi kawasan di sekitar itu yang belum diekskavasi lagi.
“Lokasi penemuan itu berada di puncak bukit, kalau monumen itu sudah kelihatan ia merupakan binaan paling tinggi di puncak bukit,” katanya ketika sesi temu ramah khas bersama Utusan Malaysia, baru-baru ini.
BINAAN CANDI
Candi yang terletak di Bukit Choras, Mukim Sala Besar, Yan diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 pada 28 Disember 2016.
Tapak tersebut terdiri daripada tinggalan binaan candi Buddha di puncak bukit berkenaan.
Secara morfologinya, Bukit Choras berbentuk bulan sabit berketinggian 57.6 meter yang menganjur dari Utara ke Selatan.
Tapak ini dikelilingi semak samun dan kebun getah, manakala, di kaki bukitnya pula terdapat rumah-rumah kampung dan sawah padi.

Hasil penyelidikan oleh pihak USM, tahun lalu, menemukan dua arca dalam posisi duduk dan bersaiz manusia yang dibuat daripada stucco yang belum pernah dilaporkan di Lembah Bujang.
Selain itu, turut dijumpai adalah kalam semah yang dibuat daripada batu lumpur yang digilap.
Sebuah prasasti beraksara Pallava juga ditemui berdekatan arca dan kalam semah.
Prasasti ini mengandungi mantera agama Buddha yang memperlihatkan fungsi tapak ini sebagai tempat penyembahan agama Buddha.
PERLU SISTEMATIK
Berkongsi proses ekskavasi yang melibatkan kerjasama banyak pihak, jelasnya, kerja-kerja tersebut perlu dilakukan secara fokus dan sistematik supaya tidak merosakkan penemuan artifak atau struktur lain.
Katanya, penggunaan sebarang alat juga perlu bergantung kepada struktur tanah yang ditemukan.
“Semuanya melibatkan kerja-kerja secara manual seperti penggunaan berus cat, lidi dan pengikis cat. Ia perlu dilaksanakan secara teliti dan perlahan-lahan.
“Kalau tanah keras dan berdebu kita boleh gunakan pemecah ais. Ia perlu dipecahkan sedikit demi sedikit. Kalau tanah lembut, artifak boleh hancur sekiranya tidak dilakukan secara teliti.
“Selepas itu, adalah teknik ayakan kering atau basah menggunakan jaring supaya artifak kecil seperti penemuan manik tidak tercicir,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Warisan memaklumkan kerja-kerja di lokasi agak mencabar kerana perlu mendaki bukit serta bergantung keadaan cuaca.
“Kalau hujan, tanah akan menjadi licin dan sudah tentu sukar untuk bergerak ke atas. Laluan pejalan kaki atau tangga juga belum ada. Setakat ini hanya menggunakan tali untuk mendaki ke puncak.
“Kami turut mendapat bantuan dan kerjasama dari sukarelawan kampung bagi kerja ekskavasi ini,” katanya mengenai tapak yang berpotensi menjadi tumpuan pelancongan pada masa depan.
TAPAK, GUA DITEMUI & DIKAJI OLEH JWN SEPANJANG 2023
i.Nama Tapak:
– Gua Kecil Batu Tambah
– Gua Lubang Kelawar
– Gua Kelew
– Gua Keledung
– Gua Perdang
– Gua Lubang Cahaya
– Gua Chawan
– Gua Jaya
– Gua Kemiri
– Gua Gemalah
– Gua Penyegat
– Gua Peraling
– Gua Cha
Daerah/Negeri:
-Lembah Nenggiri, Gua Musang, Kelantan
Catatan:
*Ekskavasi penyelamatan sudah dilakukan sejak 2022 dengan kerjasama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM.
*Tapak-tapak ini akan tenggelam apabila Empangan Neggiri siap sepenuhnya dan mula beroperasi kecuali Gua Penyengat.
ii.Nama Tapak:
Bukit Rongkit
Daerah/Negeri:
Wang Kelian, Perlis
Catatan:
*Kerja-kerja tinjauan awalan sudah dijalankan pada Mac 2023. Terdapat jumpaan yang menunjukkan tapak ini mempunyai potensi arkeologi.
iii.Nama Tapak:
Pulau Bidong
Negeri:
Terengganu
Catatan:
Kerja -kerja penyelidikan dan Salvaj Kapal Karam Bidong Fasa 3 sudah dilaksanakan pada September 2023 dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).











