La Luna bukan filem liberal, hina Islam - Pengarah

La Luna bukan filem liberal, hina Islam – Pengarah

Fi La Luna menimbulkan konflik apabila didakwa bersifat liberal dan menghina agama Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah filem La Luna, M. Raihan Halim menyangkal dakwaan penulis skrip, Zabidi Mohamed yang mengatakan naskhah tersebut mempunyai unsur pemikiran liberal serta menghina agama Islam.

Tegas Raihan, filem La Luna dihasilkan dengan niat baik iaitu membincangkan isu penunggang agama secara kritis di layar.

“Saya menghargai pandangan dan ulasan yang dikongsikan beliau secara terperinci. Sebagai pengkarya, saya berbesar hati menerima apa sahaja maklum balas.

“Cuma saya ingin menegaskan, La Luna tidak mempunyai elemen liberal mahupun antiagama Islam seperti didakwa.

“Filem ini menceritakan bagaimana seorang individu menggunakan agama untuk kepentingan peribadi. Ini cerita tentang istilah penunggang agama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Raihan lagi, dia tidak pernah menerima respons negatif mengenai agama Islam walaupun filem ini pernah ditayangkan di beberapa negara seperti Jepun, Belanda, Singapura dan Indonesia.

“Setiap negara memberi respons yang pelbagai. Contohnya, ketika La Luna ditayangkan di Jepun, masyarakat di sana memandang filem ini sebagai kritikan terhadap patriarki.

“Di Belanda, orang di sana memandang La Luna sebagai filem yang mengangkat isu keganasan rumah tangga.

“Bagi masyarakat di negara luar termasuk Eropah, La Luna bukanlah sebuah filem tentang agama Islam,” katanya.

Bercerita tentang subteks, Raihan mengajak penonton untuk mendalami watak utama Salihin Arshad yang dibawakan oleh Shaheizy Sam.

“Itulah watak utama dan paling penting dalam filem ini. Bagaimana Salihin membuka hati dan perasaan memahami pandangan yang berbeza daripada kedua-dua pihak,” tambahnya.

Sebelum ini, filem La Luna mencuri tumpuan di media sosial apabila dikatakan mempunyai agenda tersembunyi selain memaparkan elemen penghinaan kepada agama Islam.

Dakwa Zabidi menerusi sebuah hantaran di Facebook, sejak 2013 terdapat 18 buah filem yang diterbitkan di Malaysia mempunyai elemen penghinaan kepada Islam.

La Luna adalah filem komedi Singapura-Malaysia yang dibintangi oleh pelakon Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron dan ramai lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×