KUCHING: Pembinaan kompleks Velodrom di Sarawak hanya akan bermula selepas penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 pada Ogos kelak.
Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usul pembinaan tersebut juga sudah mendapat kelulusan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kita sudah usulkan pembinaan Velodrom ini tetapi, tidak ia tidak dapat dibina sebelum SUKMA memandangkan kita cuma ada baki 180 hari lagi.
“Tapi pelan pembinaannya (Velodrom) sudah dibawa kepada Premier dan beliau sudah meluluskan,” katanya ketika ditemui media selepas hadir Majlis Perjumpaan Road To Sukma XXI Sarawak di Auditorium Muzium Budaya Borneo, di sini lewat petang tadi.
Sementara itu ketika ditanya sama ada penubuhan Velodrom tersebut merupakan salah satu persediaan Sarawak menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan SEA selepas Thailand, Abdul Karim berkata pembinaan itu merupakan kemudahan yang dibangunkan bagi meningkatkan prestasi pelumba-pelumba basikal di negeri ini.
“Kita mula dengan SUKMA terlebih dahulu, kalau kita dapat menganjurkan SUKMA terbesar ini dengan baik, barulah kita bawa kepada Kerajaan Pusat. Kita juga berhasrat agar Sukan SEA selepas Thailand yang diadakan di Malaysia tahun 2027, diadakan di Sarawak,” ujarnya.
Sebagai rekod, pembinaan Kompleks Velodrom di Sarawak itu akan menjadi yang pertama di negeri itu dengan kos pembinaannya dianggarkan lebih daripada RM100 juta. – UTUSAN











