Penganggur jadikan rumah sewa sebagai makmal dadah ditahan

Penganggur jadikan rumah sewa sebagai makmal dadah ditahan

MOHAMED Usuf Jan Mohamad (dua dari kiri) melihat sejumlah dadah yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Tanjong Tokong, Pulau Pinang.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kegiatan seorang penganggur yang menjadikan pangsapuri yang disewanya di Tanjung Tokong di sini, sebagai makmal haram untuk memproses dadah akhirnya terbongkar selepas dia ditahan di kawasan letak kereta kediaman itu, kelmarin.

Susulan penahanan suspek lelaki berusia 48 tahun itu, polis turut merampas 98 bungkusan plastik dadah jenis heroin seberat 13.72 kilogram (kg) serta 22 bungkusan plastik dadah jenis syabu seberat 600 gram yang kesemuanya bernilai RM125,000.

Difahamkan, suspek yang baru sahaja dibebaskan dari penjara September tahun lalu itu mempelajari cara-cara memproses dadah tersebut daripada rakannya semasa menjalani hukuman penjara selama enam tahun di sana.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, terdahulu, suspek ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik yang melancarkan operasi terancang termasuk tiga serbuan di sekitar Tanjong Tokong antara pukul 7 pagi hingga 11 malam pada hari kejadian.

Kata beliau, suspek kemudian ditahan semasa berada di kawasan letak kereta di Tanjong Tokong dan susulan penahanan lelaki tersebut, polis memeriksa motosikal milik suspek dan menemukan sejumlah dadah yang disimpan di situ.

“Polis kemudian menyerbu unit kediaman suspek di apartment (pangsapuri) tersebut sebelum menjumpai dadah jenis syabu, kafein, bahan kimia serta peralatan memproses dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Mohamed Usuf, siasatan mendapati, suspek yang masih bujang itu bergerak seorang diri dan menyewa rumah berkenaan sejak Oktober tahun lalu pada kadar RM1,300 sebulan untuk dijadikan makmal haram memproses dadah.

“Hasil risikan mendapati, aktiviti memproses dan mengedar dadah ini telah dijalankan sejak hujung tahun lalu dan ia adalah untuk pasaran tempatan.

“Siasatan lanjut juga mendapati, suspek mempunyai tiga rekod lampau iaitu berkaitan dadah,” kata Mohamed Usuf yang memberitahu, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 65,000 orang atau 65,000 kali penggunaan.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek bagaimanapun negatif dan suspek kini reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 24 Februari depan untuk siasatan lanjut.

“Selain menjumpai dan merampas pelbagai jenis dadah, polis turut menyita sebuah kereta jenis Nissan Teana, sebuah motosikal jenis Honda PCX, sebuah motosikal jenis Honda EX5 serta wang tunai berjumlah RM15,500,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah berjumlah RM203,000 dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×