PETALING JAYA: Sudah memasuki hari ke-134 peperangan, penduduk Palestin terus menagih bantuan asas seperti makanan, khemah dan petrol bagi kelangsungan hidup mereka susulan serangan rejim Israel tanpa henti yang kini menyasarkan sempadan Rafah.
Pengerusi Sekreteriat Ops Ihsan Palestin, Jismi Johari berkata, kerajaan melalui Ops Ihsan dalam proses mengumpul dan menyampaikan bantuan asas kepada rakyat Palestin untuk tempoh setahun akan datang mulai Mac ini.
“Daripada bantuan asas itu, kita menyasarkan kepada projek kelangsungan dan kelestarian hidup seperti bantuan makanan, keantarabangsaan, advokasi, rantaian logistik dan pembangunan.
“Selain itu, fokus utama kita adalah untuk menyampaikan bantuan makanan asas seperti roti, khemah untuk mereka berlindung, petrol untuk menggerakan ambulans dan perubatan kepada rakyat Palestin dari Kaherah, Mesir,” katanya semalam.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Duta Besar Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasar menyatakan persetujuan untuk meneruskan misi bantuan Ops Ihsan menerusi sempadan Rafah yang dijadualkan Mac ini.
Mengulas lanjut, Jismi berkata, dengan kerjasama Mesir, bantuan akan sampai kepada rakyat Palestin dengan lebih mudah namun serangan Israel dan sekatan lori menjadikannya perlahan.
“Mesir memang memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi segala bantuan kemanusiaan sejak awal lagi tetapi faktor utama bantuan masih perlahan adalah tapisan dan serangan dari pihak Israel.
“Mereka menetapkan setiap kenderaan yang memasuki Gaza mesti melalui tapisan dan antara barangan yang dilarang ialah petrol. Sebelum ini terdapat beberapa insiden mereka menyerang kenderaan yang keluar atau masuk tanpa tapisan,” katanya.
Jelasnya, keadaan di Rafah semakin meruncing apabila Israel ingin meneruskan serangan ke atas pelarian Palestin di situ.
Ketika ini, katanya, sebanyak 200 lori bantuan yang berjaya masuk untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin dan dua buah hospital yang masih beroperasi. – UTUSAN










