PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akhirnya memberi penjelasan spekulasi hangat yang dihadapi oleh Datuk Pandelela Rinong susulan gagal menempah tiket ke Sukan OIimpik Paris 2024.
Menurutnya, beliau bersama koordinator program Road To Gold, Datuk Stuart Ramalingam berjumpa Pandelela dan Dhabitah Sabri menjelaskan ia bukan masalah ‘tangan ghaib’ tetapi masalah komunikasi dalaman skuad terjun negara.
Pandelela kemudian menjelaskan kepadanya bahawa dia menceritakan keadaan atlet terjun semasa di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha minggu lalu.
“Jawapan yang diberikan olehnya (Pandelela) tidak jelas antara jurulatih dan atlet dan telah wujud salah faham kepada media.
“Bukan masalah campur tangan ‘entiti’ yang mengganggu mereka. Saya rasa mereka perlu perbaiki masalah komunikasi dalaman.
“Masalah komunikasi bukan sahaja antara atlet dan jurulatih tetapi dengan semua persatuan renang dan ini adalah masalah yang kami boleh tangani,” katanya kepada pemberita ketika Cabaran Lompat Tinggi ‘Leap To The Stars’ 2024 di sini, semalam.
Semalam, Pandelela membuka mulut menerusi laman Instagram susulan kenyataan yang mendakwa ada campur tangan ketiga.
Beliau menjelaskan tentang perasaannya gagal layak ke sukan berkenaan dan memberitahu mereka tentang kekecewaannya sewaktu di sana.
Pandelela hanya menjawab hanya isu yang menjejas persembahannya dan ia menimbulkan spekulasi yang tidak diduga.
Dalam pada itu, Hannah turut menjelaskan kedudukan Pandelela dan Dhabitah dalam RTG yang terus menjadi tanda tanya.
“Keputusan mereka dalam RTG bukan di tangan saya tetapi pada jawatankuasa berkenaan.
“Walaupun nampak jelas mereka tidak layak, tetapi keputusan itu saya tidak boleh beritahu dan kita hanya perlu menunggu mesyuarat bulan ini,” katanya. – UTUSAN









