Sampai bila mahu tunggu air?

Sampai bila mahu tunggu air?

SHARIPAH Rohani Syed Mohamad (dua kiri) ditemani penduduk menunjukkan tong air di rumahnya kosong kerana tidak menerima bekalan itu daripada SADA di Kampung Batu Hampar, Merbok, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERBOK: “Letih, kami perlu angkut air dari jauh dan terpaksa pula berbelanja besar membeli air bersih untuk diminum dan memasak.”

Itu luahan kecewa 30 keluarga dari Kampung Batu Hampar, di sini yang sudah tidak dapat menahan sabar tentang masalah bekalan air ke kediaman mereka yang didakwa semakin teruk sejak sebulan lalu.

Penduduk mendakwa, masalah bekalan air sudah dihadapi sejak beberapa tahun lalu lalu, namun semakin meruncing pada awal Januari dan melarat hingga ke hari ini.

Seorang penduduk, Sharipah Rohani Syed Mohamad, 62, berkata, penduduk mula penat kerana masalah itu menjejaskan urusan harian mereka yang terpaksa mengerah kudrat dan membazir masa mengangkut air dari luar.

“Memang ada air dibekalkan pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) dua hari sekali tetapi ia tidak mencukupi terutamanya bagi kegunaan keluarga yang ramai seperti saya.

“Tambahan lagi bekalan air itu tidak sesuai untuk diminum dan kegunaan memasak sehingga menyebabkan kami perlu membeli air bersih dan berhabis duit sebanyak RM120 sebulan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, di sini semalam.

Zainurdin Mansor, 48, pula berkata, dia tinggal bersama ibu bapa serta isteri dan dua anak menyebabkan bekalan air sentiasa diperlukan dengan banyak untuk kegunaan harian mereka.

“Rata-rata penduduk kampung ini perlu mengangkut air daripada rumah saudara yang terletak jauh dari kampung kerana kalau hendak harapkan bekalan air yang dihantar SADA memang tidak mencukupi.

“Ketiadaan air paip sejak awal Januari lalu menyebabkan kami hidup dalam tekanan kerana perlu menjelaskan bil dan dalam waktu sama terpaksa membeli air bersih untuk diminum,” katanya.

Bagi suri rumah, Suhailimaton Hazami, 40, berkata, keadaan cuaca panas melampau sekarang menyebabkan keperluan bekalan air yang dihantar SADA perlu ditambah kekerapannya.

“Saya mempunyai empat anak berumur antara 6 tahun hingga 17 tahun dan cuaca yang panas sekarang menyebabkan kami memerlukan air yang banyak.

“Saya letih kerana perlu mengeluarkan modal untuk minyak kereta dan motor bagi mengangkut air dari rumah saudara di Merbok selain membeli air bersih untuk diminum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×