Nak dapat RM100 sehari pun perit - Keluhan penunggang p-hailing

Nak dapat RM100 sehari pun perit – Keluhan penunggang p-hailing

MOHD. Ali Nafiah menyerahkan memorandum bantahan tuntutan kepada Kementerian Pengangkutan di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hampir 50 penunggang perkhidmatan p-hailing hadir bagi menyerahkan memorandum mengenai nasib mereka kepada Kementerian Pengangkutan (MoT) di sini.

 Kumpulan berkenaan diwakili oleh Mohd. Ali Nafiah menyampaikan tuntutan tersebut yang diterima oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MoT, Dr. Nor Fuad Abdul Hamid.

 Bercakap kepada pemberita, wakil penunggang itu mendakwa isu kebajikan mereka tidak dipedulikan sesiapa sejak kadar baharu dikuatkuasakan operator p-hailing bulan lalu.

 “Kami berterima kasih kepada pihak MoT dan ingin menegaskan bahawa kami tidak minta lebih, tetapi cuma tuntut agar kadar bayaran dikembalikan asal,” katanya yang turut diiringi Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Bahrin Mansor.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali memberikan contoh kadar insentif yang diturunkan RM1 mulai bulan lalu menyaksikan ramai penunggang mengalami pengurangan pendapatan ketara.

 Kelazimannya ujar beliau, mereka mampu memperoleh hingga RM150 bagi 20 tempahan namun kini untuk mendapatkan RM100 sehari bagi jumlah yang sama pun semakin perit.

 Situasi berkenaan mengakibatkan ramai penunggang mengadu mengalami penurunan pendapatan lebih RM1,000 sebulan malahan ada terpaksa berhenti mencari pekerjaan lain.

 “Kami difahamkan bahawa majikan mendakwa kononnya ada sekumpulan 100 penunggang bersetuju dengan kadar baharu itu tetapi apabila disemak, ia tidak benar pun,” katanya.

 Justeru, Mohd. Ali memohon pertimbangan pihak kerajaan untuk menekan operator p-panggilan selaras dengan kelulusan pindaan rang undang-undang bagi Akta Pengangkutan Awam Darat pada tahun lepas yang dilihat mampu mengawal selia penyedia perkhidmatan tersebut.

 Pindaan akta berkenaan katanya, malah disokong Persatuan Penghantar P-Panggilan Malaysia kerana dapat mengelakkan isu pendapatan penunggang dimanipulasi syarikat.

 Sementara itu, Kamarul Bahrin berharap agar Kementerian Sumber Manusia dapat segera membantu isu eksploitasi upah dihadapi lebih 50,000 penunggang p-hailing ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×