Hamilkan anak kandung, libas isteri guna parang

Hamilkan anak kandung, libas isteri guna parang

TERTUDUH (dua dari kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas enam pertuduhan merogol anak kandung, melakukan amang seksual fizikal, mengugut untuk bunuh dan melibas parang terhadap isterinya. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol anak kandung sendiri, melakukan amang seksual fizikal, mengugut untuk bunuh dan melibas parang terhadap isterinya.

Bagaimanapun, buruh berusia 38 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman, sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol anak perempuannya berusia 15 tahun.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan boleh juga dikenakan tidak kurang 10 sebatan, bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama.

Selain itu, tertuduh didakwa melibas isterinya berusia 36 tahun dengan sebilah parang sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian lengan kiri mangsa.

Mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326 (a) akta sama, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua hukuman itu.

Tertuduh turut didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap kedua-dua mangsa sama dan seorang lagi anak lelakinya berusia 18 tahun, selain memaksa mereka mengikat pemuda itu dengan maksud hendak menakutkan akan membunuh anak dalam kandungan mangsa.

Kesemua kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Durian Tunggal dalam daerah Alor Gajah antara Jun hingga Oktober 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan mangsa merupakan isteri dan anak kandung tertuduh.

Mahkamah menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×