SABAK BERNAM: Tindakan lima penjaja yang berniaga secara haram di tepi jalan berhadapan ‘Terminal Sekinchan’ di sini, mengundang padah apabila digempur pihak berkuasa semalam.
Operasi itu dilakukan sepasukan empat pegawai dan anggota penguat kuasa Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), kira-kira pukul 10 pagi.
Setiausaha MDSB, Mohd. Azreen Ariffin berkata, objektif utama pihaknya bertujuan mengesan penjaja tidak berlesen di lokasi tumpuan umum berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai lima penjaja makanan dan minuman dikesan melakukan kesalahan tersebut. Kesemua individu itu dikenakan tindakan kompaun kerana didapati tidak memiliki permit berniaga,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kesalahan itu diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja (MDSB) 2007.
Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim menggesa MDSB memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas penjaja yang menjual makanan di lokasi tersebut
Dalam pada itu, tambah Mohd. Azreen, pihaknya turut melaksanakan operasi khas bagi membanteras peniaga aiskrim warga asing di sekitar Sekinchan, kelmarin.
“Sebanyak empat motosikal disita dan peniaga itu dikompaun maksimum sebanyak RM1,000. Caj sitaan terhadap kenderaan sebanyak RM250 turut dikenakan terhadap warga asing tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










