KUALA LUMPUR: Gara-gara enggan membayar hutang, seorang lelaki warga Myanmar maut dipercayai dibunuh rakannya di sebuah gelanggang bola keranjang di Kepong, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pegawai perubatan sebuah hospital swasta di Desa Park City, di sini, mengenai kematian mangsa kira-kira pada 4 pagi, Selasa lalu.
“Menurut pengadu, mangsa dibawa ke hospital berkenaan dengan kesan kecederaan di bahagian leher, dada dan tangan serta darah kering yang banyak selain terdapat kesan lebam pada badannya.
“Pemeriksaan lanjut terhadap mangsa mendapati lelaki terbabit berusia 24 tahun dan bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Banting, Selangor.
“Namun, tiada dokumen ditemukan pada mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.
Ahmad Sukarno berkata, siasatan awal mendapati, mangsa bersama empat rakan senegaranya mengambil minuman keras di gelanggang bola keranjang berkenaan pada hari kejadian.
“Perselisihan faham berlaku apabila mangsa enggan menjelaskan hutangnya sebanyak RM2,500 kepada salah seorang suspek yang bertindak mencucuk leher mangsa menggunakan serpihan botol arak.
“Kami percaya ketika kejadian berlaku, mangsa dan semua suspek dalam keadaan mabuk. Mangsa kemudian dihantar oleh suspek ke hospital swasta berkenaan sebelum melarikan diri,” katanya.
Susulan itu, katanya, polis menahan empat lelaki warga Myanmar yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) berusia lingkungan 20-an dalam serbuan di Bandar Manjalara dan Cheras kira-kira pada 11 pagi, Selasa lalu.
“Kami turut merampas pakaian dan telefon milik semua suspek yang bekerja sebagai pembantu restoran dalam tangkapan berkenaan.
“Semua suspek ditahan reman tujuh hari bermula Rabu lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – UTUSAN










