SEOUL: Pegawai-pegawai tertinggi dalam bola sepak Korea Selatan mencadangkan agar pengendali skuad kebangsaan negara itu Jurgen Klinsmann dipecat, dengan alasan pertukaran kepemimpinan perlu selepas tersingkir daripada saingan Piala Asia 2023 dan isu pergaduhan melibatkan pemain.
“Kami telah mencapai konsensus bahawa Klinsmann tidak mampu membawa peranan sebagai ketua jurulatih atas beberapa alasan dan pertukaran perlu dilakukan,” kata ahli jawatankuasa Persatuan Bolasepak Korea (KFA), Hwangbo Kwan.
Jawatankuasa itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan tersebut tetapi akan mengesyorkannya kepada Lembaga Eksekutif KFA yang akan memuktamadkannya.
Hwangbo berkata, persiapan taktikal jurulatih dari Jerman itu tidak seperti yang digambarkan.
“Klinsmann juga gagal mencari bakat-bakat baharu dan mengemudi pasukan dengan baik,” katanya.
Agensi berita Yonhap melaporkan tanpa memetik sumber berkata, KFA sedia menimbang pelantikan pengendali sementara untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia bulan depan menentang Thailand sekiranya Klinsmann dipecat.
Bekas penyerang kebangsaan Jerman itu yang dilantik Februari tahun lalu berdepan nasib yang tidak pasti selepas pasukan bimbingannya mengalami kekalahan 2-0 kepada Jordan yang dianggap memalukan pada Piala Asia.
Klinsmann yang tidak pernah mendapat tempat dalam kalangan peminat bola sepak Korea Selatan dan media di sini sebelum ini berjanji untuk menghadiahkan kemenangan gelaran Asia pertama buat negara itu dalam tempoh 64 tahun tetapi dia gagal.
Sebaliknya, Klinsmann enggan melepaskan jawatannya di sebalik tekanan ramai pihak agar dia berbuat demikian. – AFP/UTUSAN










