Netanyahu tetap mahu serang Rafah, tak peduli rayuan dunia

Netanyahu tetap mahu serang Rafah, tak peduli rayuan dunia

PENDUDUK menaiki kereta yang ditarik oleh traktor melepasi menara masjid yang musnah di Rafah di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan tenteranya akan mara ke bandar selatan Gaza di Rafah, dengan angkuh mengendahkan rayuan masyarakat antarabangsa untuk menimbang semula keputusan itu.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron adalah antara yang memberi amaran kepada Netanyahu, memberitahunya kos kemanusiaan bagi operasi Israel di Gaza semakin keterlaluan dan tidak boleh diterima.

Tetapi Netanyahu masih berdegil mengarahkan tenteranya bersiap sedia untuk serangan darat di bandar yang padat dengan pelarian itu sedangkan kawasan berkenaan sebelum ini sudah diisytihar sebagai zon selamat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kira-kira 1.4 juta rakyat Palestin berlindung di Rafah, yang dilaporkan sudah berdepan ratusan serangan udara dan dron.

Netanyahu berikrar untuk meneruskan serangan lebih kuat, mengisytiharkan kumpulan pejuang Hamas yang mengawal Gaza mesti disingkirkan dari bandar selatan itu.

“Kami akan berjuang sehingga mencapai kemenangan lengkap dan ini termasuk tindakan yang ampuh di Rafah selepas kami membenarkan penduduk awam meninggalkan zon pertempuran,” katanya.

Macron dilaporkan menghubungi Netanyahu kelmarin menggesa  operasi Israel di Gaza mesti dihentikan segera.

Beliau menyatakan penentangan tegas Perancis terhadap serangan Israel di Rafah, yang hanya boleh membawa kepada bencana kemanusiaan dengan magnitud baharu.

Perdana Menteri Australia, Kanada dan New Zealand turut mengeluarkan kenyataan bersama bagi menyuarakan kebimbangan besar mereka bahawa operasi ketenteraan di Rafah akan bertukar menjadi malapetaka.

“Kami menggesa kerajaan Israel untuk tidak melalui jalan ini. 

“Kesan ke atas orang awam Palestin daripada operasi ketenteraan yang diperluaskan ini pastinya lebih dahsyat.

Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock yang melawat Israel memberi amaran, penduduk di Rafah yang sudah tiada tempat untuk dituju tidak boleh dilenyapkan begitu sahaja.

Sementara itu, Sepanyol dan Republik Ireland meminta Kesatuan Eropah (EU) untuk memeriksa segera sama ada Israel mematuhi kewajipan hak asasi manusia di Gaza di bawah perjanjian yang menghubungkan hak mereka kepada perdagangan.

Kementerian Kesihatan di wilayah Palestin yang dikendalikan Hamas melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 28,576 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh akibat serangan Israel di Gaza.

Pada hari-hari awal perang, Israel mengarahkan rakyat Palestin untuk mencari perlindungan di Rafah ketika tentera Israel bergerak menentang bandar-bandar utara.

Rafah terletak paling selatan di Gaza dan mempunyai titik persimpangan ke Mesir yang menjadi pintu masuk bantuan kemanusiaan ke wilayah terkepung itu.

Kini pihak berkuasa Israel mahu orang awam berpindah ke kawasan dipanggil zon kemanusiaan di tanah pertanian sepanjang pantai Mediterranean yang dikenali sebagai al-Mawasi.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini