GAZA: Rakyat Palestin mengadu semakin tertekan selepas tentera Israel mengarahkan beribu-ribu orang yang kehilangan tempat tinggal untuk mengosongkan hospital terbesar di selatan Semenanjung Gaza.
Video tular menunjukkan pengumuman dibuat oleh tentera Israel melalui pembesar suara dengan puluhan penduduk dilihat meninggalkan Kompleks Perubatan Al-Nasser di Khan Younis.
Lapor BBC, tentera Israel mendakwa sudah membuka laluan selamat untuk orang awam, tetapi tidak berhasrat memindahkan pesakit dan kakitangan perubatan.
Wartawan Palestin, Mohammed al-Helo menyiarkan rakaman di Instagram menunjukkan dron berlegar di atas hospital berkenaan ketika seorang tentera yang menggunakan pembesar suara mengarahkan penduduk keluar dan pergi ke bangunan majlis perbandaran.
Kira-kira sejam kemudian, Mohammed menyiarkan satu lagi video memaparkan berpuluh-puluh orang berjalan melalui halaman dan kemudian membelok ke arah al-Bahr Street yang menghubungkan barat Khan Younis dengan pantai Mediterranean.
Kementerian Kesihatan Gaza mengeluarkan kenyataan menuduh tentera Israel memindahkan beribu-ribu orang yang kehilangan tempat tinggal, kakitangan perubatan dan pesakit dari hospital Nasser secara paksa.
Sementara itu badan amal Médecins Sans Frontières melaporkan, orang yang dipindahkan diarahkan keluar sementara kakitangan perubatan dan pesakit diberitahu mereka boleh kekal di hospital dengan had seorang penjaga bagi setiap pesakit.
Doktor dan pegawai kesihatan berkata, beberapa orang awam maut akibat serangan penembak tepat Israel di hospital berkenaan sejak beberapa hari lalu.
Jumlah kematian turut meningkat ketika pertempuran sengit tercetus antara tentera Israel dan pejuang Hamas di sekitar perkarangan hospital yang sudah dikepung selama lebih dan mampu berfungsi secara minimum.
Permusuhan sengit juga dilaporkan di sekitar hospital Al-Amal selepas kemudahan itu diserbu ketika kira-kira 8,000 orang yang kehilangan tempat tinggal dan pesakit mematuhi arahan untuk berpindah minggu lalu.
Tentera Israel sebelum ini menuduh Hamas beroperasi dari dalam dan sekitar dua hospital berkenaan walaupun berkali-kali dinafikan kumpulan pejuang dan pegawai perubatan.
Khan Younis menjadi tumpuan pencerobohan Israel di selatan Gaza yang bermula pada awal Disember selepas rejim Zionis mendakwa berjaya menguasai kubu kuat Hamas di utara.











