KUALA LUMPUR: Vokalis Slam, Zamani Ibrahim, mendedahkan akan bernyanyi setiap hari bagi mengekalkan paduan vokal dan momentum suara.
Walaupun sudah mencecah usia 53 tahun, Zamani berpendapat, latihan teknikal suara sangat penting bagi mengelak daripada kejadian terkucil atau ‘pancit’ semasa persembahan.
“Sebenarnya setiap hari saya akan bernyanyi di rumah. Jika tidak, momentum suara saya akan merudum, nak cari balik (momentum) susah.
“Setakat ini saya tiada apa-apa latihan khusus. Cuma apabila selalu praktis, kita sudah menguasai aspek teknikal nyanyian. Itulah yang penting semasa membuat persembahan.
“Semasa persembahan pun, jika (stamina) saya okay, saya akan teruskan tanpa berhenti,” katanya.
Zamani ditemui Utusan Malaysia di sidang media Konsert Slam di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), di sini, semalam.
Walaupun Zamani pernah menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang, gitaris Slam, Shah, meyakinkan bahawa suara vokalisnya itu masih padu dan tidak memberi kesan kepada kualiti persembahan.
“Mungkin ada pihak yang gusar atau mempersoalkan kredibiliti persembahan. Tapi orang terlepas pandang, bahawa persembahan kami semuanya memakan masa hingga tiga jam dengan jumlah lagu yang banyak.
“Dalam tempoh itu, Zamani boleh menyampaikan nyanyian dengan baik. Kalau tidak sihat sekalipun tetap, tidak akan memberi kesan kepada kualiti persembahan.
“Vokalnya tidak perlu dipersoalkan walaupun kami tahu bukan mudah untuk bernyanyi lebih daripada dua jam,” tambahnya.
Terkini, Slam diberi kepercayaan untuk membuat konsert di lokasi berprestij, Dewan Filharmonik Petronas pada 8 Jun nanti.
Menariknya untuk konsert kali ini, Slam bakal mendendangkan lagu-lagu yang jarang dinyanyikan seperti Malam dan Semalam, Bukan Niat Membalas Derita, Terasing Dalam Sepi, Suratan dan lain-lain.
“Tahun ini Slam mahu ‘memberi’ semula kepada peminat yang sudah menyokong kami sehingga 30 tahun. Melihat reaksi gembira mereka di konsert adalah satu kepuasan buat kami.
“Kami akan turut bawa lagu-lagu yang jarang anda dengar di mana-mana konsert kami,” kata Shah.
Tiket persembahan boleh diberi bermula dengan harga RM188, RM248, RM288, RM388, RM448 dan RM548 boleh dibeli menerusi tempahan di laman sesawang DFP di www.dfp.com.my, e-mel di [email protected] atau telefon di talian 03-23317007.











