PETALING JAYA: Tiga individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Palestin bakal berhadapan lebih 100 pertuduhan hari ini selepas didakwa menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.
Ketiga-tiga mereka berusia di antara 49 sehingga 58 tahun itu dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam kira-kira pukul 8 pagi ini.
Pertuduhan itu dibuat selepas siasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap NGO tersebut yang mengutip derma untuk rakyat Palestin itu sejak 17 Oktober tahun lalu.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, tiga individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif telah ditahan SPRM semalam di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya selepas hadir memberi keterangan.
Kata sumber itu, setiap daripada mereka berhadapan lebih 50 pertuduhan seorang.
“Mereka akan didakwa SPRM esok mengikut kesalahan mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574),” katanya di sini.
Pada 22 November tahun lalu, 41 akaun berjumlah RM15,868,762 melibatkan beberapa entiti syarikat dan NGO berkaitan Palestin dibekukan SPRM selepas didakwa menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.
Sebelum ini, SPRM turut menggeledah premis NGO itu serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.
Keterangan beberapa saksi penting dan hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.
SPRM memulakan siasatan ke atas NGO berkenaan berhubung aktiviti pengumpulan derma untuk rakyat Palestin pada Pada 18 Oktober tahun lalu.
Ia susulan tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) menarik balik kebenaran untuk NGO itu membuat kutipan bagi tujuan berkenaan, susulan aduan beberapa pihak yang meminta pertubuhan itu disiasat berkaitan wang dipungut dan dikumpulkan selama ini.
SPRM mempunyai kuasa untuk memulakan siasatan berdasarkan maklumat yang diterbitkan oleh media.
Siasatan SPRM terhadap NGO juga tertumpu mengenai wang yang dibelanjakan pertubuhan itu termasuk perbelanjaan penubuhan beberapa syarikat berkaitan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Januari lalu berkata, turut disiasat mengenai pelaburan jongkong emas dan penerimaan wang yang didakwa sudah diagihkan kepada penerima bantuan di Palestin, Syria dan beberapa negara lain.
SPRM juga menyiasat sama ada betul atau tidak wang derma itu sudah dihantar ke Palestin, Syria dan beberapa negara lain. – UTUSAN










