Lelaki Singapura didenda RM5,500 mengaku salah pecah cermin kenderaan - Utusan Malaysia

Lelaki Singapura didenda RM5,500 mengaku salah pecah cermin kenderaan

SOH KIAN HUI didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Muar selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memecahkan cermin kenderaan Khairul Husni Shah Jamil di Kilometer 139.6, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pagoh, 10 Februari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang lelaki warga Singapura didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memecahkan cermin kenderaan dalam pergaduhan menggunakan tongkat di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pagoh, 10 Februari lalu.

Majistret Fatin Dalilah Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Soh Kian Hui, 45, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Kian Hui didakwa memecahkan cermin belakang Toyota Fortuner milik Khairul Husni Shah Jamil, 31, yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM2,502.35 di Kilometer 139.6, Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pagoh pada pukul 1.58 petang, 10 Februari lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Kian Hui yang diwakili peguam bela daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norain Sakina Zikri memohon hukuman ringan memandangkan dia bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan kira-kira SG$3,000 (RM10,631.75) dan menjaga ibunya berusia 71 tahun yang baharu menjalani pembedahan kanser.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Ariff Marzuki memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam selepas kejadian itu tular dalam media sosial.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak memecah cermin kereta mangsa menggunakan tongkat kerana tidak berpuas hati apabila kenderaannya dihalang daripada menggunakan laluan kecemasan.

Tertuduh berjaya ditahan di Genting Highlands, Pahang pada pukul 3.30 pagi, 12 Februari lalu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×