Pesawat terhempas: Dua mayat dibawa ke HTAR - Utusan Malaysia

Pesawat terhempas: Dua mayat dibawa ke HTAR

Pesawat terhempas
KENDERAAN bawa dua mayat mangsa pesawat terhempas ke HTAR selepas menemukannya terbenam sedalam dua meter dekat Jalan Benteng, Kampung Tok Muda, Kapar di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Dua mayat mangsa nahas sebuah pesawat ringan yang terhempas di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, dibawa keluar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk proses bedah siasat.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi nahas mendapati mayat mendiang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42, dibawa menggunakan dua trak polis, kira-kira pukul 8 malam.

Terdahulu, polis mengesahkan penemuan mayat mangsa masing-masing juruterbang serta pembantu juruterbang pesawat model BK 160 Gabriel tersebut.

Kedua-dua mayat itu dipercayai ditemukan tertimbus sedalam dua meter di dalam kokpit bangkai pesawat berkenaan, kira-kira pukul 2 petang tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai nahas menimpa mangsa dari Johor dan Pulau Pinang itu, kira-kira pukul 1.45 petang.

“Operasi mencari dan menyelamat kemudian digerakkan oleh sepasukan 150 anggota polis, bomba dan agensi berkaitan. Usaha mengeluarkan mangsa mengalami kesukaran kerana perlu mengorek tanah di bangkai pesawat itu,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut nahas itu akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan.

Polis juga akan membuka siasatan mengikut kertas inkuari polis dan kematian mengejut (SDR).

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan yang terhempas itu melibatkan dua mangsa.

Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pukul 1.28 bagi penerbangan rekreasi.

Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada pukul 1.35 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN