PETALING JAYA: SK Nexilis Co. Ltd. (SK Nexilis), pengeluar kerajang tembaga terbesar di dunia, mengumumkan pelaksanaan kemudahan pinjaman bertempoh bersindiket hijau (Pinjaman Hijau) sulung bagi anak syarikatnya di Malaysia, SK Nexilis Malaysia Sdn. Bhd.
Ia untuk membiayai pembinaan kemudahan pembuatan kerajang tembaga luar negara yang pertamanya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sabah bernilai RM2.3 bilion.
Menurut kenyataan bersama OCBC Bank dan SK Nexilis, kemudahan pembuatan itu mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan 50,000 tan, yang akan menggandakan kapasiti pengeluaran global SK Nexilis.
“Kerajang tembaga yang dihasilkan akan digunakan secara eksklusif dalam bateri kenderaan elektrik, membolehkan penyelesaian pengangkutan lestari rendah karbon di pelbagai lokasi termasuk Korea, Malaysia, Poland dan Amerika Utara,” katanya.
Jelasnya, OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) bertindak selaku Penasihat Penstrukturan Pinjaman Hijau, telah memainkan peranan penting untuk menyusun Pinjaman Hijau tersebut dan memberi nasihat tentang Rangka Kerja Pembiayaan Hijau bersesuaian dengan objektif ESG SK Nexilis.
OCBC Bank juga katanya, memainkan peranan sebagai Pengatur Utama Bermandat, Ejen Kemudahan dan Sekuriti, dan pemberi pinjaman bersama, dengan AmInvestment Bank Berhad sebagai Pengatur Utama Bermandat dan AmBank (M) Berhad sebagai pemberi pinjaman bersama.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SK Nexilis Malaysia, Shin Dong Hwan berkata, kemudahan pembuatan baharu itu bukan sahaja menggalakkan inisiatif penyahkarbonan, tetapi juga mencipta peluang pekerjaan bagi rangkaian bakat tempatan dan menggalakkan lebih banyak pelaburan untuk mengukuhkan pembangunan rantaian bekalan global bagi kenderaan elektrik.
Katanya, Syarikat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada gerakan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) itu dengan rakan-rakan kewangan utamanya dalam usaha beralih kepada masa depan yang lebih cerah dan lestari.
“Pinjaman hijau ini ialah hasil usaha sama antara SK Nexilis, SKC Co Ltd dan SK Group, yang merupakan sebahagian daripada komitmen tidak berbelah bahagi terhadap ESG, seperti yang dilihat daripada inisiatif Net Zero dan RE100, dan juga sokongan kukuh daripada Kerajaan Malaysia,” katanya.
Pengarah Urusan, Pegawai Bank Kanan dan Ketua Perbankan Pelaburan OCBC Bank, Tan Ai Chin pula berkata, sebagai hab elektrik dan elektronik yang utama, Malaysia berada pada kedudukan yang mantap untuk membangunkan asas dan ekosistem pengeluaran kenderaan elektrik yang berkembang pesat.
Katanya, kehadiran SK Nexilis mengukuhkan ekosistem itu dan menyokong usaha penyahkarbonan negara.
“Kami mengucapkan tahniah kepada SK Nexilis yang diterajui pengurusan berpandangan jauh yang meletakkan inovasi dan ESG dalam teras wawasannya. Sesungguhnya OCBC Bank juga menjadi pelopor yang menyokong agenda ESG,” katanya. – UTUSAN









