KLANG: Pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) digerakkan dipercayai bagi mengesan mangsa dua individu dekat lokasi sebuah pesawat ringan yang terhempas di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Kapar di sini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati dua kenderan pacuan empat roda dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor tiba di lokasi tersebut, pukul 4.20 petang.
Pusat kawalan operasi turut dibuka oleh polis dan bomba. Siasatan dan operasi pencarian mangsa masih giat dijalankan setakat ini. Sebuah jengkaut turut digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat tersebut
Selain itu, dua dron aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor turut digunakan bagi memantau dan membantu siasatan di lokasi berkenaan.
Salah satu aset tersebut digerakkan oleh anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) mempersiapkan dron tersebut, pukul 5 petang tadi.
Difahamkan, radius pencarian dipercayai melibatkan sejauh satu hingga dua kilometer (km).
Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, melibatkan dua mangsa.
Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pukul 1.28 petang tadi bagi penerbangan rekreasi.
Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada pukul 1.35 petang. – UTUSAN










