Op Selamat 21: Pandu lebih had laju rekod saman tertinggi di Kelantan

Op Selamat 21: Pandu lebih had laju rekod saman tertinggi di Kelantan

MUHAMAD Zaki Harun (kiri) menyantuni pengguna jalan raya pada Program Keberkesanan Op Selamat 21/2024 sempena Tahun Baharu Cina di perkarangan Muse Eco Park di Gua Musang, Kelantan, hari ini.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Memandu kenderaan melebihi had kelajuan menjadi kesalahan tertinggi yang direkodkan pengguna jalan raya sepanjang lima hari Op Selamat 21/2024 (Op Selamat 21) sempena Tahun Baharu Cina di Kelantan.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebanyak 4,956 saman berkait kesalahan itu telah dikeluarkan kepada individu terlibat sekali gus peningkatan 59 peratus berbanding tahun lepas.

“Jumlah keseluruhan saman yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan bermula 8 Februari sehingga 13 Februari ialah sebanyak 8,333 saman.

“Antara kes lain yang menunjukkan jumlah saman yang tinggi adalah kesalahan nombor plat kenderaan dengan 477 saman, tidak mempunyai lesen memandu (405), tiada cukai jalan (400) dan tidak mematuhi tanda lalu lintas (386),” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pengguna jalan raya pada Program Keberkesanan Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina di pekarangan Muse Eco Park, di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, walaupun jumlah saman menunjukkan peningkatan namun kes kemalangan mencatatkan penurunan iaitu daripada 236 kepada 209 kes.

Katanya, sepanjang tempoh itu sebanyak 17 kes telah dilaporkan berbanding 30 kes pada tahun lalu.

“Kes kemalangan maut menunjukkan peningkatan daripada empat kes kepada lapan kes. Nasihat saya, semua pengguna perlu membuang sikap sombong dan pentingkan diri ketika berada di atas jalan raya kerana ia boleh mengundang kesesakan atau kemalangan jalan raya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki turut menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi bagi kes yang berat membabitkan salah laku anggota polis.

Katanya, tindakan tegas akan terus diambil termasuk menahan kerja atau anggota terbabit akan digantung kerja sekiranya didakwa di mahkamah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×