HULU TERENGGANU: Impian seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 menyambung pengajian ke United Kingdom (UK) pada tahun ini tidak kesampaian setelah terlantar lumpuh sejak Disember lalu.
Muhammad Amirul Nazmi Sam, 20, dari Kampung Jaba, Ajil, dekat sini, kini dijaga sepenuhnya oleh ibunya, Wan Murni Wan Ngah, 46, yang terpaksa cuti tanpa gaji sebagai tukang cuci di sebuah sekolah di Wakaf Tapai, Marang.
Menurut Wan Murni, kehidupan anak keduanya yang mesra dipanggil Angah mulai berubah sejak 18 Disember lalu setelah ditemukan pengsan di rumah kediaman pelajar di Universiti Taylor, Subang Jaya, Selangor dan disahkan doktor akibat salur darah di otak pecah.
“Angah kini belajar peringkat A-Level di Universiti Taylor dan dijadual berakhir Mac ini. Dia dijadual ke UK pada Jun depan bagi lanjutkan pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat di bawah pembiayaan Program Penajaan Pendidikan Petronas.
“Namun takdir yang tertulis berbeza. Sejak kejadian itu, Angah kini hanya mampu terbaring atas katil serta perlu memakai lampin pakai buang dan bergantung kepada susu khas sahaja.
“Setelah ditemukan pengsan, dia dikejarkan ke sebuah hospital swasta sebelum dipindahkan ke Hospital Cyberjaya pada hari sama kejadian. Lebih kurang dua minggu dirawat di hospital tersebut, dia dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di rumahnya Kampung Jaba, Ajil, dekat sini, semalam.
Tambah ibu tunggal tiga anak ini, dia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji sejak kejadian menimpa anaknya dan hanya bergantung pertolongan adik-beradik serta sumbangan orang ramai dari segi kewangan.
Katanya, anak sulungnya yang berusia 23 tahun kini belajar tahun akhir di Universiti Malaya dalam bidang Kejuruteraan Awam manakala anak bongsu pula berumur 15 tahun masih bersekolah di Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu, di sini.
“Syukurlah pelbagai pihak sudi membantu setakat ini, sekurang-kurangnya dapat ringankan beban saya. Bantuan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat juga mula diterima pada bulan ini.
“Impian Angah sejak kecil untuk belajar di luar negara, dia dapat beberapa tajaan termasuk ke Jepun setelah cemerlang 9A dalam SPM. Biarpun tidak jadi kenyataan, doa dan harapan saya sebagai ibu kini ingin melihat dia cepat sembuh seperti sebelum ini,” ujarnya.
Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu dan hulurkan sumbangan boleh salurkannya ke akaun Bank CIMB, Wan Murni Wan Ngah menerusi nombor 7645426650 atau hubungi di talian 010-7805482. – UTUSAN










