GEORGE TOWN: Pulau Pinang terus mengekalkan kedudukannya sebagai negeri yang menjadi penyumbang utama kepada eksport negara setakat Disember tahun lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, walaupun dianggap sebagai negeri kedua terkecil di Malaysia, Pulau Pinang secara konsistennya masih berada pada kedudukan tiga teratas dari segi sumbangannya dalam bidang ekonomi termasuk pertumbuhan serta penarikan pelaburan ke Malaysia.
”Malah, jumlah (eksport) itu sebenarnya amat memberangsangkan kerana kami (Pulau Pinang) berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport utama negara sepanjang tahun lepas.
“Ketika ini, lima negeri mendominasi nilai eksport negara iaitu sebanyak 81 peratus dan saya gembira untuk menyatakan bahawa Pulau Pinang berada pada kedudukan pertama (dalam senarai dominasi itu) dengan (nilai eksport berjumlah) RM37.3 bilion,” katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Kebajikan 88 Kapten di sini, hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abd. Razak; Pengerusi Persatuan Kebajikan 88 Kapten Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ooi Eng Hock serta beberapa tetamu kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang juga berada pada landasan yang tepat untuk mencatatkan satu lagi tahun yang hebat dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan.
”Suku ketiga tahun lalu (Januari hingga September) menunjukkan, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pembuatan diluluskan berjumlah RM35.8 bilion, iaitu peningkatan sehingga enam kali ganda untuk perbandingan tahun ke tahun.
”Dalam hal ini, Pulau Pinang sekali lagi menunjukkan peranan utamanya sebagai penyumbang FDI pembuatan utama di Malaysia dengan menguasai 42 peratus daripada FDI pembuatan negara untuk tempoh yang sama,” katanya.
Tambahnya, antara negara yang mempunyai FDI pembuatan terbaik di Pulau Pinang ialah Belanda, Amerika Syarikat (AS) dan Singapura, malah katanya, negara-negara ini juga telah menyumbang sebanyak 95 peratus kepada pelaburan pembuatan yang diluluskan itu.
“Saya yakin kejayaan ekonomi kita adalah berita baik untuk semua rakyat negeri ini terutama generasi muda yang mempunyai tempat untuk mencari rezeki di tapak yang kita sediakan sekarang,” katanya.-UTUSAN










