JAKARTA: Tinjauan pendapat terkini menunjukkan calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mampu mencapai kemenangan dengan majoriti besar tanpa perlu melalui pusingan penentu pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024 Rabu ini.
Bagaimanapun, penganalisis politik berkata, dua pesaingnya mampu memaksa pusingan kedua dan menafikan laluan mudah untuk jawatan presiden.
Selepas kempen rasmi berakhir kelmarin, beberapa pakar berpendapat, tinjauan tersebut hanya mengambil kira peratusan kecil daripada populasi pengundi dan mungkin tidak menggambarkan sentimen sebenar pada hari pilihan raya kelak.
Tinjauan akhir pra-pilihan raya yang dikeluarkan oleh Indikator Politik Indonesia Jumaat lalu menunjukkan Prabowo dan pasangannya Gibran Rakabuming Raka mencatatkan kebolehpilihan sebanyak 51.8 peratus.
Sementara itu pesaing terdekatnya, Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar berada di tempat kedua dengan memungut 24.1 peratus, manakala Ganjar Pranowo dan Mahfud MD memperoleh 19.6 peratus di tempat ketiga.
Tinjauan terbaharu oleh Populi Center, Stesen Cuaca Politik, dan Lingkaran Survei Indonesia turut meletakkan kebolehpilihan pasangan Prabowo-Gibran masing-masing pada 52.5 peratus, 52.3 peratus dan 50.7 peratus.
Dengan tiga calon presiden bertanding, peraturan pilihan raya semasa memerlukan calon memenangi sekurang-kurangnya 50 peratus undi kebangsaan dan sekurang-kurangnya 20 peratus undi di setiap wilayah untuk mengelak pusingan penentuan.
Pusingan tersebut akan menyaksikan calon tempat pertama dan kedua berdepan dengan pilihan raya yang ditetapkan pada 26 Jun ini.
Pasukan kempen Prabowo dalam temu bual dengan CNA mengakui yakin untuk menang dalam satu pusingan tetapi tidak menolak sebarang kemungkinan, termasuk bekerjasama dengan calon di tempat ketiga sekiranya perlu berdepan pusingan penentuan.
Pegawai kanan kempen Anies dan Ganjar berkata, mereka tidak terlalu banyak memikirkan tentang tinjauan terkini kerana apa yang penting ialah keputusan pada 14 Februari ini.
Jurucakap pasukan kempen Prabowo, Eddy Soeparno berkata, mereka tidak mengambil mudah kenaikan sokongan yang diperoleh baru-baru ini.
“Kami tetap sangat berhati-hati kerana beberapa hari akan datang, apa-apa boleh berlaku apabila calon lain turut mempercepatkan kelajuan dan pergerakan mereka serta usaha mendekati orang ramai seperti yang kami lakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pasukan Kempen Anies, Muhammad Syaugi Alaydrus berkata, ribuan penduduk yang hadir di acara kempen ‘Desak Anies’ di mana orang ramai boleh bertanya apa-apa kepada beliau membuktikan sokongan terhadapnya semakin meningkat.
“Tinjauan pendapat seperti yang kami tahu, tidak pernah secara telus memaklumkan daripada siapa mereka dibiayai. Kami tahu semua itu.
“Banyak aspek dipertimbangkan oleh Anies dan Muhamin dan tinjauan itu adalah salah satu daripadanya. Tetapi terdapat banyak aspek lain seperti program apa yang mereka ada, rekod prestasi dan sama ada semua janji sudah tunaikan di Jakarta,” katanya.
Ketua Pasukan Kempen Ganjar-Mahfud, Arsjad Rasjid pula menegaskan, suara rakyat akan didengari pada hari pengundian dan bukan dalam tinjauan.
“Kami juga berharap keputusannya adalah adil, benar dan berfakta yang mengikut proses demokrasi,” katanya sambil mengulangi badan kerajaan harus kekal berkecuali semasa proses pilihan raya yang akan dijalankan.
Beliau menegaskan perkara tersebut berikutan dakwaan Presiden, Joko Widodo membenarkan pegawai awam untuk menyokong kempen Prabowo dan menjejaskan kempen pesaingnya hingga mencetus bantahan daripada pelbagai kumpulan.
Jokowi sebelum ini berkata, ketua negara dibenarkan secara sah untuk berkempen, tetapi pada Rabu lalu memberitahu pemberita beliau tidak akan berbuat demikian.










