GAZA: Amat memilukan apabila seorang kanak-kanak perempuan di Gaza berusia enam tahun ditemukan mati, beberapa hari selepas merayu pertolongan menerusi panggilan telefon kepada agensi perubatan.
Hind Rajab merayu untuk diselamatkan selepas kereta keluarganya diserang di Gaza City.
Serangan itu menyebabkan dia seorang diri dalam ketakutan dan cedera dengan dikelilingi mayat saudara-maranya.
“Saya sangat takut. Tolong panggil seseorang untuk membantu saya,” katanya menerusi panggilan telefon kepada Bulan Sabit Merah Palestin.
Tetapi selepas lebih dua minggu usaha keras untuk menghubungi kanak-kanak itu semula dan mendapatkan lokasinya, mayat Hind akhirnya ditemukan semalam.
Mayat kanak-kanak malang itu ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat bersama mayat dua pekerja penyelamat Bulan Sabit Merah Palestin yang dikerah untuk mencarinya.
Kumpulan pejuang Hamas menggesa kumpulan hak asasi manusia dan masyarakat antarabangsa untuk mendokumentasikan kejadian itu sebagai jenayah ngeri.
Ibu Hind, Wissam Hamada, menyalahkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan semua yang bersekongkol menentang Gaza dan rakyatnya atas kematian anaknya itu.
“Saya akan membela kematian anak ini di hadapan Tuhan pada hari kiamat, hari penghakiman sebenar,” katanya.
Hind kali terakhir didengar jeritannya selepas terperangkap di dalam kenderaan bersama saudara-mara lain ketika mereka cuba melarikan diri daripada serangan Israel di Gaza City.
“Hind dan semua orang di dalam kereta itu syahid,” kata datuk gadis itu, Baha Hamada.
Ahli keluarga menemukan mereka ketika pergi ke kawasan Tel al-Hawa untuk mencari kereta itu berhampiran sebuah stesen minyak.
“Kami dapat sampai ke kawasan itu kerana tentera Israel berundur awal pada waktu Subuh.
“Hind dibunuh oleh tentera penjajah Israel. Semua orang yang bersamanya di dalam kereta di luar stesen minyak di Tel al-Hawa turut terbunuh,” jelas Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan.-AFP











