DUNGUN: Seorang penternak lembu di Kampung Jongok Batu, Hulu Dungun di sini bimbang selepas seekor lembu ternakannya ditemukan mati, dipercayai dibaham harimau kumbang, Selasa lalu.
Mat Yazid Mat Husin, 62, berkata, kejadian itu bukan perkara baharu, malah beberapa lembu peliharaannya juga pernah mati dibaham haiwan liar berkenaan sejak beberapa bulan lalu.
“Hari Selasa lepas, seekor lembu dewasa milik saya mati, manakala anaknya sempat menyelamatkan diri, namun terdapat kesan kecederaan di belakang anak lembu itu.
“Saya tengok banyak kesan tapak kaki harimau kumbang di sekitar kawasan ternakan,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Kampung Jongok Batu, Hulu Dungun di sini, semalam.
Mat Yazid yang menternak lembu lebih tiga tahun lalu berkata, kejadian itu menyebabkan dia bimbang untuk ke kawasan ternakannya untuk memberi lembu makan.
“Kawasan ternakan saya memang agak dekat dengan kawasan hutan, mungkin sebab itu lembu saya menjadi mangsa.
“Saya harap sangat harimau kumbang ini dapat ditangkap sebab saya bimbang keselamatan saya. Sekarang kalau nak bagi lembu makan memang terpaksa berteman,” katanya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Kita akan membuat siasatan dan akan memasang perangkap di kawasan itu sekiranya terdapat kehadiran harimau kumbang,” katanya. – UTUSAN











