Ramai pinjam ah long, babitkan lebih RM17 juta

Ramai pinjam ah long, babitkan lebih RM17 juta

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pinjaman wang menerusi institusi kewangan tidak berlesen atau ah long meningkat sejak 2021 sehingga 31 Januari lalu membabitkan jumlah hutang sebanyak RM17,083,405.25.

Jumlah berkenaan direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) babitkan lebih RM17 juta selepas 3,271 aduan diterima Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman mengenai ancaman sindiket ah long selepas mangsa-mangsa gagal melangsaikan hutang mereka.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak RM4 juta pinjaman direkodkan pada 2021 dan meningkat kepada RM6.9 juta pada tahun berikutnya.

Kata beliau, jumlah pinjaman berkenaan bagaimanapun me­nurun semula pada 2023 apabila sebanyak RM5.92 juta hutang ah long direkodkan pada tahun lalu.

“Bagi awal tahun ini sehingga 31 Januari lalu, sebanyak RM201,050 pinjaman ah long telah dikenal pasti.

“Aduan tertinggi dilaporkan adalah pada tahun lalu dengan 1,185 kes diikuti 2022 (1,009 kes), 2021 (1,000 kes) dan awal tahun ini sehingga 31 Januari lalu (77 kes) ancaman ah long direkodkan,” katanya di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut, kata beliau, aktiviti meminjam wang daripada ah long atau ceti haram terus menjadi pilihan individu yang mengalami masalah kewa­ngan dan desakan hidup.

Ini kerana bagi peminjam, melakukan pinjaman daripada ah long ini lebih mudah meskipun tindakan itu akan me­ngundang padah.

“Jangan sesekali meminjam dan terperangkap dengan ah long. Itu peraturan yang paling utama dan pertama agar kita tidak menjadi mangsa ancaman lintah darat ini.

“Sekali pun kita terdesak, sama ada keperluan untuk meminjam untuk kegunaan peribadi atau perniagaan, ada salurannya untuk berbuat demikian. Peniaga kecil boleh mendapatkan pinjaman atau bantuan daripada agensi yang dilantik kerajaan. Jika peri­badi pula, ada juga kaedah lain,” jelasnya.

Ramli berkata, masalah yang dihadapi peminjam daripada ah long ini apabila pinjaman kecil kemudian dibebankan sindiket dengan ratusan kali ganda dari jumlah asal.

“Kadar faedah pinjaman ah long boleh menjadi sangat tinggi. Sebab itu, seseorang pe­minjam perlu tahu akibat yang akan berlaku. Jika mereka tetap meminjam, maka mereka berisiko untuk diserang ah long sekiranya gagal melunaskan hutang mereka.

“Tugas polis adalah untuk mencegah dan menyiasat perkara ini. Namun ancaman ah long itu boleh memberi kesan psikolgi ke atas mangsa dan boleh berlarutan bukan hanya kepada diri peminjam tetapi keluarga mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, ah long kini telah menukar taktik dengan menawarkan pinjaman kepada orang ramai menggunakan aplikasi khas yang boleh dimuat naik menerusi telefon pintar.

Modus operandi terbaharu itu kononnya dianggap lebih sistematik dan memudahkan pelanggan untuk berurusan, berbanding taktik lapuk dengan cara menampal nombor telefon tertentu di bahu jalan dan dinding bangunan.

“Ada juga sindiket ah long yang berselindung di sebalik logo dan nama syarikat peminjam wang berlesen untuk meneruskan kerja haram mereka.

“Taktik itu dilakukan bagi meyakinkan orang ramai kononnya mereka merupakan syarikat peminjam wang berlesen tulen yang beroperasi dengan mendapat kebenaran pihak berkuasa,” kata beliau.

Ditanya mengenai kes ancaman ah long makin menjadi-jadi, Ramli berkata, PDRM sentiasa tegas dalam tindakannya untuk membanteras sindiket ah long ini.

“Dalam tempoh tiga tahun ini sahaja, sebanyak 3,700 individu telah ditahan kerana terbabit dalam kegiatan ah long sehingga melakukan ugutan jenayah dan khianat kepada mangsa.

“Tangkapan tertinggi dilakukan pada tahun lalu iaitu 1,272 orang ditahan diikuti 2022 (1,271 orang) ; 2021 (1,067 orang) dan Januari lalu (90 orang). Kita (polis) tidak akan berkompromi dalam menghadapkan mereka ke muka pengadilan,” katanya.

Untuk rekod, pada 24 Januari lalu, satu kawasan kejiranan di Taman Selaseh, Fasa 2, dekat Batu Caves kecoh apabila beberapa buah rumah dan kenderaan disimbah cat merah berikutan salah seorang daripada penghuni dipercayai tidak membayar hutang ah long mengikut perjanjian yang ditetapkan.

Selain itu, rumah milik seorang ibu tunggal dibaling bom petrol dipercayai berkaitan hutang bekas suaminya dengan ceti haram dalam kejadian di Pekan Nanas, Johor pada 30 Januari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×