Alice harap tuah tahun naga buru tiket Olimpik

Alice harap tuah tahun naga buru tiket Olimpik

ALICE Chang berharap tahun naga memberinya tuah untuk berjaya menempah tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Atlet ping pong negara, Alice Chang menumpang tuah tahun naga untuk mencapai impiannya ke Sukan Olimpik di Paris, Julai ini yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemain Malaysia.

Atlet berusia 24 tahun itu berkata, demi impian dia sanggup mengorbankan sambutan Tahun Baharu Cina.

“Saya dilahirkan pada tahun naga, jadi, saya harap tahun ini dapat memberi tuah kepada saya untuk melakar banyak kemenangan dan sekali gus, membantu saya memburu tempat ke Olimpik.

“Kita atlet ping pong tidak pernah beraksi pada temasya itu, jadi, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini saya hanya sambut sehari bersama keluarga di Kuching, Sarawak sebelum pada sebelah malam saya pulang semula ke Kuala Lumpur.

“Ini kerana saya dan rakan sepasukan yang lain akan terbang ke Busan, Korea Selatan bagi menyertai Kejohanan Dunia Berpasukan Ping Pong yang bermula 16-25 Februari ini,” katanya.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham itu memberitahu, kejohanan dunia di Busan menawarkan slot ke Sukan Olimpik dan skuad negara perlu mengesahkan tempat di suku akhir untuk memastikan tiket ke temasya tersebut.

Jelasnya, kedudukan ranking tidak mempengaruhi kelayakan ke temasya empat tahun sekali itu, justeru, dia berasa optimis bahawa skuad negara memiliki peluang cerah untuk ke Paris.

“Saya tahu bukan mudah sebenarnya, tetapi, jika kita bekerja keras tiada yang mustahil kerana seperti Sukan SEA yang lalu, kita menamatkan penantian selama 33 tahun untuk beraksi dalam perlawanan akhir.

“Jadi, saya percaya jika kita bekerja keras dan tidak berputus asa, impian semua atlet itu akan menjadi kenyataan, saya juga berharap undian turut berpihak kepada kami,” ujarnya.

Selain kejuaraan dunia di Busan, Alice berkata, dia juga akan beraksi pada Kejohanan Asia di Bangkok, Thailand, Mei ini dalam acara individu yang turut menawarkan slot ke Olimpik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×