SOALAN
Suami saya panas baran. Tak kena sikit terus dimaki hamun saya macam saya tiada perasaan. Sekali sekala tangan dia pernah juga hinggap di pipi saya. Bila fikir rasa nak lari je dari rumah tapi memikirkan anak-anak yang masih kecil, saya taknak hidup mereka tanpa seorang ayah.
Pn. Lia, Seremban.
jawapan
Perkahwinan adalah satu pertaruhan.
Mendapat pasangan yang soleh menjadi idaman pasangan berkahwin.
Namun begitu, dalam mengharungi bahtera rumah tangga bukan semua pasangan bernasib baik dalam mengecapi kebahahagiaan, pasti ada ujian yang melanda perhubungan. Bahagia diharapkan, malah derita pula yang kunjung tiba. Sangat perit bukan?
Puan, Saya turut bersimpati dengan apa yang dialami puan. Sangat perit kan nak hidup dengan suami yang panas baran.
Ditengking, dimarah, dimaki tanpa memikirkan perasaan isteri yang selayaknya disayangi.
Lagi teruk apabila sang suami menggunakan kekerasan untuk melepaskan amarah kepada ahli keluarga. semua masalah dibawa ke rumah, anak dan isteri menjadi mangsa.
Suami dan ayah yang sepatutnya menjadi tempat bermanja malah melayan keluarga dengan kasar dan keras. Emosi dan hati mula tercalar sehingga memberi beban yang menyakitkan mereka.
Apa yang perlu dilakukan oleh anda sebagai isteri adalah seperti berikut:
Beri lebih perhatian pada suami – Kadang-kadang kemarahan suami adalah berpunca dari persekitaran luar. Luangkan masa untuk mendengar perkongsian daripada suami selepas keadaan reda. Mudahan sedikit sebanyak dapat meredakan kesusutan fikirannya.Tumpuan dan perhatian daripada isteri dapat melembutkan kerasnya ego suami.
Bantu suami mengurus emosi – Sebagai isteri usaha untuk memujuk, menasihati dan memberitahu kesudian anda untuk membantu suami membuat perubahan. Luangkan masa berdua dalam keadaan selesa dan tenang tanpa gangguan anak dan persekitaran semasa perbincangan.
Berkongsi dengan orang terdekat – Jika tidak dapat diselesaikan secara dalaman dengan suami, jangan simpan isu rumah tangga secara sendirian. Cari orang yang anda boleh dipercayai untuk berkongsi. Boleh juga menggunakan kaedah perbincangan dengan ahli keluarga supaya ada yang dapat membantu menasihati pasangan.
Memujuk suami berjumpa pakar Psikiatri / Kaunselor – Bantu suami untuk mendapatkan rawatan pakar supaya dapat menguruskan emosi dengan baik.
Mendapatkan rawatan kesihatan – Isteri perlu cakna dengan diri sendiri. Walau sayang macamanapun pada suami, sekiranya mereka melampaui batas sehingga memberi kesan pada fizikal anda, sila dapatkan rawatan di Hospital. Berterus terang dengan keadaan dan simpan segala bukti yang anda perolehi sebagai bukti jika berlaku sesuatu yang lebih parah dimasa akan datang.
Berdoa dan mengadu pada Allah – Mohon agar Allah berikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian rumah tangga dengan sebaik mungkin. Yakinlah bahawa Allah tak akan sia-siakan doa seorang isteri yang mahukan kebaikan untuk suami.










