GAZA: Majlis Pelarian Norway (NRC) memberi amaran kepada Israel agar tidak meluaskan operasinya ke Rafah yang melibatkan kira-kira sejuta rakyat pelarian Palestin.
Jelas NRC, tindakan ketenteraan itu dilihat hanya menyasarkan orang awam yang kehilangan tempat tinggal.
“Perluasan permusuhan itu boleh menjadikan Rafah sebagai zon pertumpahan darah dan kemusnahan yang tidak dapat dielakkan oleh orang ramai,” kata badan itu dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Wilayah Asia Barat dan Afrika Utara NRC, Angelita Caredda berkata, tiada tempat lagi untuk orang awam melarikan diri di Gaza.
Mesir juga memberi amaran tentang bahaya operasi ketenteraan di Rafah kerana bimbang dengan sejumlah besar pelarian di Gaza berpindah ke negara itu.
Jurucakap Kementerian Luar Mesir, Ahmed Abu Zeid dalam temu bual dengan TV Al-Ghad berkata, kawasan semenanjung ini dipenuhi dengan begitu ramai orang awam serta ia menimbulkan bahaya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, tentera Israel tidak lama lagi akan mengalihkan tumpuan serangan darat mereka ke Rafah.
“Askar kami kini berada di Khan Younis, kubu utama Hamas. Mereka akan segera masuk ke Rafah, kubu terakhir Hamas,” kata Netanyahu.
Dalam perkembangan lain, delegasi Hamas yang diketuai oleh Timbalan Ketuanya, Khalil Al-Hayya tiba di ibu negara Mesir Kaherah kelmarin untuk mengadakan rundingan mengenai Gaza.
CNN melaporkan bahawa Hamas membentangkan maklum balasnya dengan mencadangkan perjanjian tiga fasa dengan setiap 45 hari akan menyaksikan pembebasan secara beransur-ansur tebusan.
Turut dibentangkan permulaan usaha kemanusiaan dan pembinaan semula secara besar-besaran.
Bertentangan dengan tuntutan awal, Hamas tidak menggesa peperangan segera dihentikan.
Menurut dokumen itu lagi, rundingan untuk gencatan senjata kekal akan berlaku dan tebusan yang tinggal hanya akan dibebaskan sebaik sahaja perjanjian akhir untuk menamatkan perang dipersetujui.
Jurucakap Hamas, Osama Hamdan mengecam Netanyahu kerana mendakwa pemimpin rejim Zionis itu tidak komited kepada tuntutan Hamas.











